"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mazlan nafi tangkapan ada kaitan ceramah di Johor

Ismail Hashim
KUALA LUMPUR, 11 Mac:
Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menafikan tangkapan terhadapnya ekoran dakwaan mengeluarkan kenyataan pekerja Felda makan duit haram, merompak duit peneroka dan sebagainya di dalam satu majlis ceramah di Johor.
"Tidak ada kena mengena," tegas Mazlan lagi menafikan dakwaan sebuah persatuan yang difahamkan mempunyai kaitan dengan Felda.

Kenyataan persatuan yang menyebutkan perkara itu disiarkan dalam satu siaran berita radio awal petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Mazlan telah dibebaskan setelah ditahan selama dua malam di Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub, Pahang.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika dihubungi baru sebentar berkata, beliau dalam perjalanan pulang ke Johor.

Menurutnya, beliau ditahan selepas menyertai majlis dialog di sebelah petang di Felda Lembah Klau pada 9 Mac lalu.

Katanya, selama dua malam itu, beliau ditahan di bawah Kanun Keseksaan Akta 441 ekoran didakwa kesalahan pencerobohan.

Insiden itu berlaku selepas Mazlan mengadakan satu majlis dialog di rumah sebuah peneroka di Felda berkenaan lalu ada seorang pegawai Felda datang menghalang kerana kononnya tidak mempunyai permit.

Peguam Haris Abdullah berkata, berlaku sedikit kekecohan ekoran tindakan pegawai Felda itu sedangkan tuan rumah telah membenarkan Mazlan berdialog dengan peneroka di situ.

"Mazlan ditahan pada kira-kira jam 11.30 malam selepas membuat satu laporan polis di balai yang sama," katanya lagi.

Haris berkata, Mazlan membuat laporan berhubung satu kekecohan yang berlaku di tempat beliau mengadakan dialog dengan peneroka Felda Lembah Klau.

Beliau yang sudah berbelas tahun bergerak aktif di dalam memperjuangkan nasib peneroka Felda seluruh negara dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Raub sekitar jam 11 pagi tadi dengan bon polis RM3,000 dengan seorang penjamin.

Tiada ulasan: