"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuanku Jaafar Tidak Maklum Atau Tandatangan Pemecatan Anwar

Salmiah Druhamad Drahsin
PUTRAJAYA 8 MAC:
Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman sebagai Yang Dipertuan Agung pada 1998 pernah memberitahu Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa baginda tidak maklum mengenai pemecatan beliau.

Malah, almarhum baginda juga tidak menandatangani sebarang dokumen pada hari pemecatan Anwar, sebaliknya hanya berbuat demikian selepas digesa beberapa hari kemudian.

Bercakap di luar mahkamah selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Ketua Pembangkang itu untuk mengisytihar pemecatannya dari Kabinet sebagai tidak sah, Anwar berkata, ia disuarakan almarhum baginda ketika menziarahi beliau di Hospital Munich, Jerman.

Terdahulu, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff ketika membuat penghakiman, menyatakan tiada kesangsian Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membatal pelantikan Anwar.

“Saya perkukuh hujah saya. Tatkala almarhum Tuanku Jaafar bertemu saya, ziarah saya di Hospital Munich, Tuanku Jaafar sebut pada saya bahawa beliau tidak dimaklum mengenai pemecatan pada 2 September dan tidak tanda tangan apa-apa dokumen pengesahan perlucutan jawatan pada tarikh tersebut.”

Menurut Anwar, pertemuan itu berlangsung selepas beliau dibebaskan pada 2005 ketika almarhum baginda mengunjungi beliau di Hospital Munich, sekali gus ia menjadi bukti kukuh betapa prosedur pemecatannya tidak sah.

Malah, Anwar turut mendapatkan kepastian mengenai perkara berkenaan.

“Saya tanya sekali lagi depan Azizah, depan Tuanku Najihah, Tuanku jelas? Baginda kata mustahil lupa perkara itu kerana beliau turut sedih dengan apa yang berlaku," katanya.

Peguam Anwar, Karpal Singh pula menyifatkan keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan hari ini nyata mencerminkan pemerintahan Mahathir yang bersifat diktator.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum Parti Keadilan rakyat (PKR) itu memfailkan kes berkenaan pada 13 Nov 1998 susulan pemecatan beliau pada 2 Sept 1998.

Anwar adalah pemimpin yang disebut-sebut bakal menerajui Malaysia dipecat pada 2 September 1998 berikutan konspirasi politik peringkat tertinggi dan tindakan berkenaan menghakis kepercayaan umum terhadap institusi kehakiman.
-tvselangor-

Tiada ulasan: