Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 12 Mei: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendedahan terbaru penglibatan beberapa individu lain oleh saksi utama, Saiful Bukhari Azlan mengesahkan wujudnya satu konspirasi politik.
Bercakap kepada media (gambar) selepas perbicaraan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditangguhkan ke esok, beliau memberitahu bahawa Khairul Anas adalah pembantu khas Datuk Seri Najib, manakala Datuk Mumtaz Jaafar pula pegawai khas kepada Datin Sri Rosmah Mansor.
"Hari ini kita dengar lagi tambahan selain nama-nama yang disebut (sebelum ini) seperti Datuk Mumtaz, Khairil Anas.
"Ia mengukuhkan lagi pendirian kita selama ini tentang penglibatan dan konspirasi untuk menjatuhkan musuh politik dengan cara kotor dan jijik," katanya.
Terdahulu, dalam keterangannya, Saiful memberitahu ada membuat panggilan telefon kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada 25 Jun 2008 iaitu sehari selepas pertemuan dengan Najib.
Panggilan itu katanya bagi mengadu masalah, namun hanya sempat bercakap selama seminit sebelum dimarahi Musa dan diberi amaran supaya tidak menelefonnya lagi.
Selain Musa, Saiful juga memberitahu ada bertemu bekas Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor di rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang pada malam 27 Jun hingga pagi keesokannya.
Pertemuan itu atas tujuan sama, iaitu mahu pengadu 'pengainayaan' terhadapnya yang didakwa dibuat Anwar.
Khairil Anas pula menurut Saiful adalah individu yang membawanya ke kediaman persendirian Najib di Taman Duta, Kuala Lumpur.
Sebelum itu kata Siful, dia ada menemui Khairil Anas bagi mengadu perkara tersebut tetapi kemudian pembantu khas Najib itu memutuskan untuk membawanya berjumpa dengan Najib.
Dalam pada itu, Datuk Mumtaz Jaafar (gambar), individu yang namanya disebut dalam keterangan Saiful hari ini dilihat tiba di mahkamah jam 2.30 petang tadi.
Beliau juga adalah Pengarah Eksekutif Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) badan yang Rosmah adalah penaungnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan