Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Lau Bee Lan menetapkan demikian pada prosiding yang bermula pada jam 2 petang dan berakhir kira-kira 6.30 petang ini.
Kes ini berlangsung berikutan pembinaan menara TNB yang didirikan di tanah milik seramai 50 peneroka Felda di Sungai Klah.
TNB memasang pencawang melalui laluan 3 dari Bukit Beruntung ke Bukit Gajah di keluasan tanah 23 ekar milik peneroka berkenaan.
Pendakwaraya, Lathikah Probakaran berkata keputusan itu akan didengar selepas mahkamah mengikuti penjelasan wakil TNB, FELDA dan empat saksi.
“Kes ini berkenaan pembinaan menara elektrik oleh TNB di kawasan rancangan Sungai Klah dan kami mewakili seorang peneroka, jadi tuntutannya adalah untuk pampasan sebab sebahagian daripada tanah anak guam kami telah diambil oleh TNB.
“Jadi keputusan akan diumumkan pada 21 May ini,” katanya.
Peneroka Felda, Arumugam Letchumanan berkata tindakan TNB yang didakwa tidak berbincang dengan mereka menyebabkan mereka terpaksa membayar hasil tanah yang tinggi kepada Pejabat Tanah biarpun sebahagiannya digunakan TNB.
“Kita ini sudah bertungkus-lumus selama sembilan tahun dan banyak kita usaha dapatkan bukti-bukti dan bukan senang untuk kita cari bukti dan lagi pun kita sudah banyak berbelanja untuk mencari juruukur yang bertauliah.
“Kita punya pengorbanan ke atas kes ini sudah banyak, semua peneroka, rakan-rakan saya berbeza tuntutannya, ada yang setengah ekar, satu ekar dan lain-lain, ada juga TNB tebang pokok tanpa memberitahu kami terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, 49 orang peneroka Felda Sungai Klah lagi berharap keputusan pada 21 Mei ini akan memihak kepada mereka.
Peneroka Felda, Muhammad Idris berkata jika keputusan mahkamah tidak berpihak kepada Arumugam, mereka akan membuat tuntutan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) bagi mendapatkan pampasan yang berlarutan selama 29 tahun.
“Jadi Insyaallah, kalau tiada aral melintang apa pun keputusan mahkamah nanti, kumpulan yang kedua ini, kami akan balik ke SUHAKAM sama ada keputusan keluar sahaja menang atau kalah, kami semua tetap akan ke SUHAKAM kerana semua dokumen kami masih di SUHAKAM, maknanya SUHAKAM akan mengambil tindakan sekali lagi,” katanya.
-tvselangor-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan