"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mohon maaf boleh baiki imej tercalar polis

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 13 Mei:
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yakin maruah dan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan jatuh merudum jika bersedia memohon maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa yang ditembak mati, baru-baru ini.

Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut berkata, malahan imej tercalar teruk mutakhir ini boleh diperbaiki dengan kesediaan permohonan maaf.

Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa kecewa dengan keengganan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memohon maaf kepada keluarga mangsa arwah Aminulrasyid Amzah.

Katanya, perkara sedemikian amat mendukacitakan kerana sewajarnya pihak (PDRM) wajar menunjukkan professionalismenya.

“PDRM sewajarnya membersihkan nama baik arwah Aminulrashid dengan dakwaannya sebelum ini. Kita mahu pihak keluarga tidak dibebani dengan dakwaan yang dikemukakan pihak PDRM sebelum ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, beliau menggesa sekali lagi agar standard dan prosedur PDRM diperbaiki dan diperkemaskan untuk menangani daripada kejadian sedemikian berulang kembali.

“Kita yakin, pasukan PDRM mampu menangani situasi sedemikian dengan baik kerana mutu dan kerja professionalisme PDRM sebagai pasukan keselamatan amat diperlukan oleh rakyat dan negara.

“Kita juga menggesa agar tekanan kerja yang dihadapi oleh pasukan polis selama ini dikaji dan diperbaiki. Ia untuk memastikan mereka mampu menangani bebanan tugas dan amanah yang amat berat dan mencabar,” ujarnya lagi.

Sehubungan dengan itu, katanya langkah terbaik ialah memastikan kebajikan anggota PDRM terus diutamakan seperti sistem perumahan yang baik serta selesa, kebajikan keluarga anggota polis diberi perhatian dan sistem gaji yang bersesuaian dengan ekonomi semasa.

Tiada ulasan: