"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada permohonan maaf untuk keluarga Aminul

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini enggan mengulas tuntutan keluarga Aminulrasyid Amzah - pelajar 14 tahun yang ditembak polis hujung bulan lalu agar pihak kerajaan dan polis memohon maaf kepada mereka.

“Saya tidak mahu komen kerana ia mempunyai implikasi undang-undang,” kata Musa pada sidang media di Putrajaya.

Semalam keluarga Aminulrasyid merayu supaya pihak polis juga membersihkan nama Aminulrasyid daripada dilabelkan penjenayah.

Laporan NST hari ini juga membuat spekulasi bahawa permohonan maaf adalah antara beberapa langkah yang dicadangkan oleh panel khas yang ditubuhkan oleh Kementerian dalam Negeri bagi menyiasat kejadian itu.

Selain itu, cadangan lain panel berkenaan termasuk Perintah Tetap Ketua Polis (IGSO) - berhubung peraturan penggunaan senjata api dimaklumkan kepada umum.

Ditanya perkara berkenaan, Musa juga enggan mengulas.

“Saya belum terima laporan panel itu, jadi saya tidak boleh komen mengenainya,” katanya.

Ditanya secara khusus sama ada beliau secara peribadi setuju IGSO tidak dirahsiakan, Musa menjawab: “Saya tak kisah”.

Perhimpunan 13 Mei

Berhubung perhimpunan Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) esok bagi menyambut ulang tahun ke-41 peristiwa berdarah ketegangan kaum 13 Mei, Musa berkata beliau tidak mengetahui mengenainya.

“Saya tidak tahu mengenainya, anda perlu tanya pada (polis) Terengganu,” kata Musa.

Perhimpunan itu dibidas oleh kedua-dua pihak pembangkang dan juga parti-patrti komponen Barisan Nasional.

Penganjurnya, bagaimanapun mendakwa perhimpunan yang dinamakan 'Bangkit Melayu' bertujuan menyatupadukan orang Melayu yang semakin renggang dan membangkitkan kesedaran orang Melayu terhadap hak mereka.

Pengerusi Gertak, Razali Idris dilaporkan berkata, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucaptama pada majlis yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak pada 13 Mei ini.

Beliau dilaporkan berkata, tarikh itu dipilih untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah yang pernah berlaku pada tarikh tersebut.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: