Mohd Firdaus Jaafar
Semalam saya dihubungi oleh seorang teman sekolah lama yang mahukan kepastian apakah ada kemungkinan akan berlaku lagi tragedi rampasan kuasa tidak bermaruah seperti mana yang berlaku di Perak tahun lalu.Teman itu meminta saya membaca berita di The Malaysian Insider bertajuk 'Second ‘Perak’ on the cards, warns Zul Noordin' yang ditulis oleh Clara Chooi berkaitan isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu yang ditalak tiga oleh PKR kerana keangkuhannya sendiri.
Zul Noordin dalam kenyataannya memberitahu ada dua Ahli Parlimen dan seorang Adun dari PKR akan bertindak meninggalkan parti kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan DS Anwar Ibrahim, alasan yang tidak berubah-ubah sejak bermulanya episod wakil rakyat melompat keluar.
Pada mulanya saya rasa teruja dengan berita itu, tapi bila direnung-renung dan ditilik-tilik, mana mungkin amaran tidak berasas itu menjadi realiti apabila wakil rakyat yang tidak dinamakan itu adalah dua orang MP dan hanya seorang Adun sahaja.
Bodohnya peguam yang berpaksikan agama dan bangsa itu membuat congakan asas matematik dalam politik. Pada masa sekarang Pakatan Rakyat menguasai 20 kerusi dan BN hanya memiliki 15 kerusi termasuk dua kerusi Bebas di DUN Kedah, manakala Kota Siputeh masih kekal tidak bertuan kerana ketakutan BN yang teramat sangat terhadap pilihan raya kecil di Kedah.
Kalau pun masin mulut Zul Noordin, berlaku apa yang dikatakannya, kerajaan PR Kedah masih utuh dan tragedi Perak tidak akan berulang di negeri jelapang padi ini. PR masih kekal menguasai kerajaan negeri kerana mempunyai 19 kerusi berbanding BN hanya 16 kerusi termasuk Bebas.
Pada ketika ini Adun PKR hanya ada 3 orang sahaja, Adun Bukit Selambau, S. Manikumar, Adun Sidam, Tan Show Kang dan Adun Kulim, Lim Soo Nee. Ketiga-tiganya menganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah.
Apakah salah seorang dari mereka akan mengikut jejak bodoh dan senget Adun Lunas dan Adun Bakar Arang yang meninggalkan PR hanya kerana ingin mendapat sedikit habuan yang hanya boleh dijadikan modal permulaan membuka sebuah restoren di KL?
Dua lagi MP, kemungkinan gandingan MP Padang Serai dan MP Sungai Petani @ MP Padang Serai dan MP Kuala Kedah @ MP Sungai Petani dan MP Kuala Kedah tidak akan menjejaskan penguasaan PR dalam DUN Kedah.
Persoalannya siapakah dua orang MP dan seorang Adun PKR yang Zul Noordin maksudkan dalam kenyataan bodohnya itu?
Saya cuba menghubungi salah seorang dari Adun untuk penjelasan dan kesudahannya kami mencapai satu keputusan untuk diaturkan satu ceramah penjelasan isu lompat melompat pada 19/5/2010 di Bedong.
Ketiga-tiga Adun PKR dan ketiga-tiga MP PKR akan dijemput untuk memberikan penjelasan dan Zul Noordin juga akan dijemput untuk mendedahkan siapakah Adun dan MP PKR yang dikatakan akan melompat dari Pakatan Rakyat.
Mohd Firdaus Jaafar,
Ahli Parlimen Jerai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan