"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Krisis istana K'tan tidak patut ke mahkamah'

Ada di kalangan rakyat Kelantan mengakui berasa malu dengan pergolakan yang melanda keluarga diraja Kelantan, tetapi merasakan ianya tidak sepatutnya berlarutan hingga ke mahkamah.

Seorang penduduk tempatan yang ditemui berkata, pertelingkahan di kalangan anggota keluarga diraja itu, tidak sepatutnya berlarutan hingga ke mahkamah.

Sebaliknya, kontraktor pendawaian, Ibrahim Jusoh, 60, berpandangan bahawa keluarga diraja berkenaan perlu menunjukkan tauladan yang baik kepada rakyat Kelantan.

"Seperti kita jadi contoh kepada anak-anak. Kalau kita beri contoh tidak baik, anak akan ikut begitulah," kata beliau yang menetap di Kampung Pak Badol, Pasir Puteh.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedar bahawa apa saja pandangannya tidak akan mampu mempengaruhi perkembangan di istana.

"Apa yang kita kata ini macam anjing menyalak bukit saja, tak ada kesan apa-apa. Kita ini siapa," kata Ibrahim lagi.

Katanya lagi, insiden seorang petugas istana cedera parah ditembak awal bulan ini juga menimbulkan tandatanya di kalangan masyarakat tempatan.

Jadi bahan perbualan

"Ini kita nampak sebagai kes polis, biar dia siasatlah. Kalau kita turut campur, bimbang jadi tak baik pula.

"Sebab (mangsa) kerja di istana, memang mudah untuk dikaitkan (dengan krisis istana)," kata Ibrahim.

Menurutnya, beliau hanya mendapat perkhabaran mengenai kes tersebut melalui perbualan di kedai kopi bersama teman-temannya.

"Mata sudah tak berapa nampak untuk baca akhbar. Jadi cerita-cerita begini kita dengar melalui kawan saja.

"Banyaklah cerita yang saya dengar di kedai-kedai kopi, tapi saya buat tak tahu sajalah sebab bukan kerja kita (untuk siasat)," katanya.

Sementara itu, beberapa orang anak muda yang ditemubual juga mempunyai pandangan yang sama, namun lebih bersikap acuh tidak acuh dengan perkembangan yang berlaku

Seorang penuntut universiti, Amrizal Abdul Kadir (kanan) pula berkata, beliau kini tidak lagi berminat untuk mengetahui perkembangan melibatkan istana kelantan.

'Perebutan takhta'


"Saya dapat tahu ketika melayari laman-laman berita ketika di kampus, kemudian terus tidak berminat lagi," katanya ketika ditemui di Kampung Muka Bukit, Machang.

"Setakat yang saya faham, isu ini sebab perebutan takhta saja," katanya yang merupakan penuntut tahun pertama di kampus Universiti Malaysia Sarawak (UMS)

Amrizal juga mengakui ada rasa malu bila orang lain baca berita pasal ini, khususnya mengenai tanggapan mereka terhadap istana Kelantan.

Katanya, beliau mula mengetahui mengenai insiden tembakan melibatkan seorang kakitangan istana selepas pulang ke Kelantan untuk bercuti pada minggu lalu.

"Tap
i bila sudah balik ke Kelantan, saya pun tidak tahu perkara sebenarnya juga. Cuma tahu cakap-cakap orang saja," katanya.

Seorang rakannya, Mohd Zairi Che Husin (kiri) pula berkata, beliau mendengar cerita-cerita tersebut daripada rakan-rakannya di Kota Bharu ketika mengunjungi bandar itu minggu lalu.

"Memang ada diperbualkan oleh kawan-kawan, tapi saya tidak ambil tahu sangat. Saya dengar, mungkin sebab mereka (keluarga diraja) bergaduh di kalangan anak beranak itulah," kata Mohd Zairi, 26.

'Ini soal istana'

Katanya lagi, beliau tidak boleh menyimpulkan apa-apa daripada kejadian tersebut kerana tidak mengetahui butirannya yang sebenar.

"Saya dengar orang lain cerita sahaja, lainlah kalau saya sendiri ada di (tempat kejadian)," katanya.

Sementara itu, seorang pesara perkhidmatan awam yang ditemui, enggan mengulas lanjut mengenai pergolakan tersebut.

Beliau sekadar berharap pemangku raja Tengku Muhammad Faris Petra akan ditabal sebagai Sultan Kelantan menggantikan Tuanku Ismail Petra yang kini gering.

"Hujungnya kita harap Tengku Faris yang akan naik jadi raja. Bila lantik begitu, barulah akan selesai (perbalahan)," katanya ketika ditemui di Bukit Jawa, Pasir Puteh semalam.

Bagaimanapun, beliau yang hanya ingin dikenali dengan nama Abang Haji itu berpandangan bahawa rakyat tetap tidak dapat menolak sekiranya keadaan itu tidak berlaku.

"Apa kuasa kita untuk menolak? Kita tidak ada apa-apa kuasa. Siapa pun yang dilantik, kita terima saja.

"Masalah istana kita tidak boleh pandai-pandai. Bila kita pun masuk ganggu, dia akan jadi lagu lain.

"Orang atas (pentadbiran kerajaan) pun berdiam diri juga. Kita apatah lagi. Ini soal istana, apa kita boleh buat?," tegasnya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: