"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR desak Wee Choo Keong letak jawatan MP

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 15 Mei
: Parti Keadilan Rakyat (PKR ) Cabang Wangsa Maju hari ini mendesak Wee Choo Keong meletakkan jawatan ahli Parlimen (MP) kawasan itu serta merta kerana telah mengkhianati parti dan amanah yang diberikan rakyat.

Timbalan Ketua Cabang PKR Wangsa Maju, Buhairi Yaakob berkata, Wee seharusnya meletakkan jawatannya bagi membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan dan memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan yang lebih baik.

"Kami sebagai ahli PKR dan pengundi di Wangsa Maju mendesak Wee meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen berkuat kuasa serta merta.

"Kami mendesak agar satu pilihan raya segera diakan di Wangsa Maju bagi membolehkan pengundi membuat pilihan raya yang benar dan lebih baik daripada beliau," katanya pada sidang media di pejabat PKR Taman Danau Kota, dekat sini.

Beliau juga berkata, ahli parti sangat tidak tidak berpuas hati dengan tindakan yang dibuat Wee itu apatah lagi beliau mendapat bantuan penuh daripada PKR untuk menang pada pilihan raya umum ke-12 yang lepas.

"Ahli jawatankuasa PKR Wangsa Maju dan pengundi di sini berasa kami telah dikhianati, diperbodohkan dan dipermainkan Wee atas tindakan beliau itu. Kemenangan Wee atas tiket PKR dan PR dan bukan hak peribadi beliau.

""Semasa PRU 12 yang lalu Wee bukan ahli PKR yang layak bertanding di sini sebaliknya beliau ialah Ahli Malaysia Demokratic Parti (MDP).Tapi atas semangat setiakawan yang ditunjukkan Majlis Pimpinan Pusat, beliau ditawar bertanding dan berkat usaha, tenaga dan wang ringgit oleh parti, beliau menang namun kepercayaan itu dikhianati beliau," katanya.

Beliau turut mempersoal tindakan Wee yang meletakkan jawatan sewaktu pilihan raya kecil di Sibu, dan yakin ianya mempunyai motif dan agenda peribadi sesuatu pihak bagi menjatuhkan Pakatan Rakyat.

"Kami berpendapat tindakan yang dibuat menjelangnya hari mengundi di pilihan raya kecil Sibu mempunyai motif dan agenda peribadi sesuatu pihak yang tidak senang dengan PKR dan PR," katanya.

PKR khususnya di Wangsa Maju juga tegasnya, tidak sedikit pun terjejas dengan tindakan Wee itu memandangkan Wee tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sebagai ahli Parlimen di kawasan itu.

"Sebenarnya kami telah banyak menerima rungutan daripada pengundi si sini tentang Wee yang jarang turun padang sebaliknya hanya memantau kawasan dalam blognya sahaja.

"Justeru, tindakan beliau itu tidak menjejaskan PKR sebaliknya PKR akan terus kukuh di sini di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf berkata, alasan yang diberikan Wee bahawa beliau keluar parti kerana kecewa dengan cara parti itu dan kerajaan negeri Selangor dalam menangani skandal pasir menerusi Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) adalah tidak betanggungjawab.

"Untuk beliau kata beliau keluar atas alasan Semesta, saya rasa itu amat tidak betanggungjawab kerana beliau tidak terlibat dalam mengandalikan isu itu. Bertanggungjawab bukan sahaja menulis di blog, tapi berserta dengan tindakan," katanya.

Ditanya sama ada isu lompat parti akan dibincangkan secara khusus di kongres PKR akhir Mei ini, beliau berkata isu kepimpinan yang bukan sahaja kes lompat parti akan dibincangkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada kongres itu.

"Kita telah cadangkan kepada pimpinan-pimpinan dan perwakilan-perwakilan yang membahaskan agar memberi keutamaan kepada isu kepimpinan.

"Mungkin di sini saya rasa kepimpinan PKR Wilayah Persekutuan boleh mempertimbangkan isu ini sebagai satu yang boleh dipelajari dan diteladani oleh ahli seawaktu kongres nanti," katanya.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong semalam mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi ahli Bebas.

Wee juga mengumumkan meletakkan semua jawatan partinya, termasuk ketua PKR Wilayah Persekutuan.

Tiada ulasan: