"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadapi judi dengan kempen bukan bertembung - GMJ

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 3 Julai:
Gerakan Mansuhkan Judi (GMJ) akan mengambil pendekatan kempen bukannya bertembung dengan mana-mana pihak dalam memastikan aktiviti perjudian di negara ini dihapuskan.

Antaranya, mereka akan berbincang dengan pihak media bagi membolehkan kempen memansuhkan aktiviti perjudian di negara ini berjalan lancar.

Antara yang disasarkan oleh GMJ adalah semua media tidak lagi menyiarkan sebarang iklan untuk judi di samping tidak menyiarkan keputusan sebarang aktiviti perjudian.

"Kami akan berbincang dengan media dalam hal ini sebelum mengambil apa-apa tindakan. Jika tidak berubah mungkin akan sampai kepada peringkat boikot," kata Pengerusi GMJ, Azmi Hamid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena perhimpunan anti judi di perkarangan masjid negara petang tadi. Kira-kira 3,000 peserta dari 60 NGO dan parti politik menyertai perhinpunan ini.

Ia telah ditangguhkan ke jam 5 petang dari rancangan awalnya pada jam 1.30 tengahari bagi menghormati pengkebumian jenazah Allahyarhamah isteri bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail.

Antara yang hadir di majlis perhimpunan ini adalah Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan dan Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar.

Sekarang ini, hampir saban hari akhbar harian menyiarkan aktiviti perjudian termasuk keputusan lumba kuda dan judi nombor ramalan iaitu ekor dan toto.

Ia sudah sampai ke peringkat dibuat gurauan, laporan yang benar dan tepat untuk sesetengah media Umno adalah keputusan toto dan empat nombor ekornya.

Dalam pada itu, GMJ telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar membuat keputusan dalam kabinet bukannya Majlis Tertinggi Umno tentang pembatalan pemberian memberikan lesen judi sukan kepada kumpulan Berjaya.

Ini kerana, isu pemberian lesen bukan urusan Umno tetapi urusan kerajaan dan kabinet adalah tempat membuat keputusan yang tepat.

"Kami telah menghantar surat namun sehingga kini belum mendapat apa-apa jawapan dari PM," kata Azmi.

Ekoran pembatalan pengeluaran lesen judi itu, GMJ juga sedang mengkaji semula memorandumnya kepada Yang Dipertuan Agung.

"Kami yakin ia masih relevan tetapi perlu kepada pengubahsuaian," kata Azmi kepada wartawan.

GMJ juga meminta semua negeri mencontohi Kelantan dalam mengendalikan isu perjudian iaitu dengan tidak mengeluarkan sebarang lesen judi.

"Kita faham, ia tidaklah boleh dijalankan serta merta tetapi kami akan berbincang agar semua negeri boleh membuat tindakan ke arah itu," katanya.

Tiada ulasan: