"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rusuk patah dan kesan lebam di belakang Aminulrashid - Makcik Norsiah

Raudhatul Janah

"Kami sekeluarga amat merasakan kehilangannya” – demikian luahan Norsiah Mohamad, ibu kepada Aminulrasyid Amzah pelajar 15 tahun yang di tembak mati oleh polis di Shah Alam, April lalu.

Ketika umat Islam menyambut Aidilfitri dengan gembira, keluarga Allahyarham masih berbalut duka atas kepergian Aminulrasyid ke rahmatullah dalam usia yang begitu muda.

Linangan air mata mencerminkan rasa sebak sekeluarga Aminulrashid apabila mereka berkumpul di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam di pagi Aidilfitri untuk berdoa dan membaca Yassin bagi Allahyarham.

Hujan yang mengiringi doa mereka menambahkan kesyahduan Aidilfitri untuk keluarga ini.

Bagi mereka, hari raya tetap menandakan kemenangan ke atas hawa nafsu dan masa untuk melakukan fitrah.

Namun keseronokan mengharungi Ramadan dan menyambut Aidilfitri pudar kerana ketiadaan hilai ketawa Aminulrasyid.

Yang ada pada mereka, adalah cuma kenangan detik-detik manis yang dihabiskan oleh mereka bersama Allahyarham.

"Kita dah biasa dengan Aminulrashid pada waktu raya. Sekarang dia dah tak ada, rasa semacam. Apabila buat persiapan, teringat dia. Mak cik pandang baju, teringat dia. Bila beli baju baru, dia paling suka. kejap-kejap dia salin, tukar baju dan tanya makcik. Karekter dia membuat makcik sentiasa teringat padanya," imbas Norsiah.

"Allahyarham suka makan lontong, sate, bihun. Raya macam ni teringat dia. Hari ini rasa kosong. tapi kerana raya, makcik buat ala kadar. tapi baju raya dia tahun lepas ada lagi siap tergantung"

Justeru Hari Raya kali ini dan seterusnya tidak mungkin sama dengan sambutan yang dilalui bersama Aminulrashid.

"Memang berbeza, sunyi tak ceria. Walaupun buat persiapan, Macik selalu dahulukan dia, sebab dia anak bongsu istimewa. Sekarang dia tak ada, kita tak ada semangat, terasa sangat kehilangan dia. Rasa ternampak-nampak dia,” tambah beliau.

“Paling terasa bulan puasa. makcik tak pergi terawih sebab sebelum ni teringat dia yang ajak makcik. Dulu pergi surau pun dengan dia. Sekarang Cuma nampak kawan-kawan dia…Makcik amat merasakan kehilangannya. Tak boleh bayangkan…"

Aidilfitri menandakan genap lima bulan Allahyarham ditembak mati oleh polis apabila dikatakan tidak berhenti pada sekatan jalanraya. Tindakan menembak mati remaja itu menimbulkan pelbagai kecurigaan mengenai kewibawaan polis.
Setakat ini hanya seorang anggota polis di hadapkan ke mahkamah walapun insiden itu membabitkan pelbagai peringkat anggota polis dan kenyataan awal pucuk pimpinan polis yang dilihat sebagai tidak telus.

Koperal Jenain Subi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menyebabkan kematian Aminulrashid.

Jenain dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Aminulrashid pada di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 Shah Alam membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Rakan Aminulrashid, Azamuddin Omar yang sebaya dengannya, terselamat apabila sempat melarikan diri dan kini menjadi saksi utama kes yang mendapat tumpuan dan kecaman segenap lapisan masyarakat.

Bagi keluarga Aminulrashid, usaha untuk mendapatkan keadilan bagi remaja itu ibrat jalan panjang yang penuh berliku.

"Makcik paling sedih apabila Polis cakap bukan-bukan. Saya tak boleh terima. Bukan mak cik kata semua polis jahat. Tapi mereka yang terlibat tak ada perasaan ke? Cuba dia ada anak, boleh dia buat macam itu?,” kata Norsiah.
“Makcik tak boleh terima bila tengok dua ketul daging otak Aminul ada dekat tempat duduk kereta… makcik tak boleh bayang ketakutan dia masa tu. Dia nak balik rumah bukan larikan diri," kata ibu berusia 60 tahun, menahan sebak.
Bagi Norsiah, 26 April 2010 adalah hari paling tragis untuk seisi keluarganya. Penemuan mayat Aminulrashid bagaikan mimpi ngeri yang tidak hilang dari ingatan.
.
"Mak cik sakit hati bila pukul 12 tengah hari, makcik pergi hospital untuk cam mayat tetapi pihak hospital tak benarkan sebab tunggu arahan polis. Pukul 3 petang, baru dapat tengok. Polis beritahu makcik, kes masih dalam siasatan. Tetapi mengapa sejak dari pukul satu lagi, sudah ada berita kononnya Aminul penjenayah (dan) penyamun. Apa benda tu? Makcik tak boleh terima,” kata Norsiah.

Norsiah berkata seisi keluarga terkejut dengan keadaan mayat Aminulrashid.
“Abangnya mandikan Aminul, ada kesan lebam dibelakang, rusuk patah. Makcik rasa dia lanyak. Zalim ke tak zalim tu?" kata Norsiah mengenang nasib anaknya pada Hari Raya pertama Aidilfitri.

"Mungkin ini iktibar, dan nak tunjuk bagaimana cara polis buat kerja, maka dipilih anak Makcik, Aminul dan Azan (saksi dan rakan Aminulrashid), seorang anak Polis. Kita nak tengok bagaimana Polis buat kerja. Aminul ni, makcik redha dengan cara dia pergi begitu" kata Norsiah sebelum beredar pulang ke rumah bersama anggota keluarganya.

Tiada ulasan: