"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS mulakan tindakan saman terhadap Zam

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 6 Sept:
PAS akan menghantar surat kepada bekas Menteri Penerangan, Datuk Zainudin Maidin (Zam) bagi meminta bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu itu memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnahnya terhadap parti Islam itu.

Pengerusi Lajnah Guaman PAS, peguam Mohamed Hanipa Maiden (gambar) berkata, jika Zam tidak berbuat demikian, beliau akan memfailkan saman terhadap Zam selepas hari raya ini.

"Saman ini akan difailkan atas nama Setiausaha Agung PAS," kata Hanipa kepada Harakahdaily. Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi mengesahkan perkara ini.

Selain Zam, beberapa akhbar yang menyiarkan kenyataan Zam ini akan dinamakan sebagai defendan dalam kes ini, kata Hanipa.

Zainuddin sebelum ini mendakwa kononnya PAS meminta Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj merampas harta orang cina ketika tragedi 13 Mei 1969 serta dakwaan kononya PAS menyebelahi Indonesia ketika konfrontasi antara Malaysia dengan negara tersebut.

Ia telah disiarkan dalam Utusan Online dan beberapa akhbar lain termasuk akhbar Cina.

Ekoran itu beberapa laporan polis telah dibuat oleh PAS di seluruh negara bagi membantah kenyataan itu.

Semalam, Zam dengan angkuhnya mempertahankan kenyataan beliau itu.

Menurut Hanipa, kenyataan Zam itu adalah fitnah yang sangat jahat dan tidak bertanggungjawab terhadap PAS tambahan pula ia dibuat di bulan Ramadhan.

Beliau juga mendapati kenyataan itu memutar belitkan fakta sejarah.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad menyelar kenyataan Zam itu.

Hujah Zam itu, jelasnya, bukan sahaja dangkal malah menjelaskan lagi bahawa beliau iadalah seorang yang istiqamah menentang perjuangan yang di bawa oleh PAS daripada muda sampai tua.

Beliau juga yakin, tujuan utama Zainuddin adalah untuk menimbulkan keresahan di kalangan orang Cina di negara ini terhadap PAS seperti beberapa serangan api perkauman telah ditiup dengan kencang di dalam negara ini hasil daripada provokasi Umno.

"Kalaulah PAS hendak rampas harta orang Cina, maka PAS tidak perlu minta bantuan Tunku Abdul Rahman.

"PAS boleh buat sendiri terhadap Cina di Kelantan yang minoriti. Hakikat yang berlaku ialah tidak ada seorang pun Cina yang dibunuh dan sebuah kedai pun yang dibakar oleh orang PAS di Kelantan," katanya.

Tiada ulasan: