"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemilihan PKR : Apa yang sama dengan UMNO?

AnakSungaiDerhaka
Ada golongan-golongan tertentu cuba menyamakan kerancakan kempen untuk pemilihan jawatan-jawatan didalam PKR khususnya jawatan Timbalan Presiden dengan amalan-amalan yang berlaku didalam UMNO.

Saya sudah beberapa kali terlibat didalam pemilihan semasa berada didalam UMNO. Dan sehingga kini saya belum nampak wujudnya persamaan amalan yang berlaku didalam PKR dengan yang pernah berlaku didalam UMNO.

Kalau pun ada persamaan ialah kecenderungan pemimpin-pemimpin untuk bertanding dan kecenderungan anggota-anggota parti untuk menyokong calon-calon tertentu.

Didalam keadaan keributan pemilihan didalam UMNO, mereka menggunakan kuasa politik bagi mereka yang memegang jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Menteri Besar dan ahli-ahli EXCO. Mereka memberikan tawaran yang tidak dapat diberikan oleh calon-calon lain.

Mereka yang mempunyai begitu banyak wang, ramai yang kaya didalam UMNO kerana mereka mendapat peluang yang begitu banyak kerana mereka sanggup menjadi kroni, menawarkan wang kepada perwakilan-perwakilan.
Sesetengah perwakilan dari sesetengah Bahagian mampu menukar 4 biji tayar baru dan merubahsuai kereta masing-masing setelah Perhimpunan Agung UMNO kerana begitu banyak wang yang mereka boleh bawa balik.

Mereka mendapat wang bukan dari satu punca tetapi berbagai punca, kadang-kadang dari calon-calon yang mereka tidak sokong, dan calon-calon itu mahukan sokongan. Kadang-kadang mereka menjualkan calon-calon mereka dengan "sistem barter trade", "engkau sokong calon tajaan aku, dan aku sokong calon tajaan kamu" dengan perkiraan wang yang sesuai.

Itulah politik wang, itulah rasuah politik. Itulah amalan didalam UMNO yang merosakkan parti itu, dan yang cuba diatasi oleh parti itu. Mungkinkah UMNO akan berjaya mengatasi masalah itu?

Pemilihan mereka yang terbaru menampakkan segala usaha mereka masih belum berjaya. Jawatankuasa Disiplin parti itu telah juga mengenakan disiplin yang kuat kepada mereka yang didapati mengamalkan politik rasuah, ada Menteri yang tersungkur. Ada pemimpin-pemimpin yang dibawa ke Mahkamah, tetapi ada juga yang didapati bersalah melakukan politik wang bukan sahaja tidak diambil tindakan bahkan dilantik kekal sebagai Ketua Menteri dan menjadi Anggota Majlis Tertinggi. Ini bermaksud bahawa tindakan UMNO terhadap pengamal-pengamal rasuah semasa pemilihan didalam parti mereka adalah bertujuan untuk mengekang sesetengah pihak dan menutup mata kepada sesetengah yang lain.

Politik wang atau rasuah politik tidak berlaku didalam PKR. Ada juga kempen yang cuba memburuk-burukkan calon-calon tertentu dengan fitnah-fitnah. Ini adalah gejala pertandingan yang tidak dapat membendung naluri-naluri negatif kepada penyokong-penyokong. Tetapi gejala itu adalah terhad kerana anggota-anggota PKR sendiri berjaya membuat teguran dan menyekat gejala-gejala buruk itu.

Walaupun penamaan calon belum lagi berlangsung untuk pemilihan pimpinan Pusat, tetapi calon-calon yang berhajat telah pun menyatakan hasrat masing-masing dan mereka sudah memulakan kempen.

Kempen pertama yang dijalankan adalah untuk mendapatkan pencalonan dari Cabang-Cabang. Tindakan sebegini adalah wajar. Jika seseorang calon itu ingin bertanding, beliau sudah pasti perlu berkempen untuk menyatakan hasratnya agar nama beliau dapat dicalonkan. Ini adalah demokrasi yang segar, dan kempen-kempen yang dijalankan membuatkan anggota-anggota parti merasakan bahawa mereka terlibat dengan sistem pemilihan yang diwujudkan, dan menjadikan mereka sebahagian dari proses kematangan berpolitik.

Didalam kempen peringkat awal ini belum ternampak lagi perbuatan amalan songsang seperti rasuah politik. Kempen utama yang dijalankan adalah melalui Fb, Twitter dan blog, dan kempen itu dijalankan oleh penyokong-penyokong tanpa melibatkan wang atau kuasa politik.

Kerancakan kempen akan meninggi apabila sudah dipastikan nanti calon-calon yang akan bertanding.

Sistem pemilihan yang diwujudkan oleh PKR adalah unik dan sistem ini tidak membolehkan permainan wang kerana pengundi-pengundinya melibatkan 400,000 anggota diseluruh Negara. Walaupun sesuatu Cabang menyokong seseorang calon, belum pasti lagi anggota-anggota didalam Cabang itu akan mengundi mengikut ketentuan Cabang. Hanya anggota-anggota di peringkat Cabang itu sendiri yang dapat menentukan, dan dimanakah jaminan bahawa anggota-anggota yang ramai itu boleh mengikut telunjuk pimpinan Cabang?

Seterusnya sila sambung bacaan anda di SINI

Tiada ulasan: