"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zaid Tak Jadi Ghafar Jika Bersama PAS

Zolkharnain Abidin

Sebaik sahaja Zaid meninggalkan Umno, saya terdengar hujung-hujung telinga bahawa Zaid Ibrahim ingin menyertai PAS. Khabarnya, ada pemimpin tertinggi PAS yang ditemuinya dan hasrat itu dinyatakan.

Saya tidak tahu lagi apa yang terjadi selepas itu. Cuma tidak berapa lama kemudian saya dengar Zaid menyertai PKR.Bagi saya, tindakan Zaid meninggalkan Umno amat saya syukuri. Penyertaannya dalam PKR sangat mengembirakan. Asalkan dia tidak bersama Umno, sama ada dia bersama PAS atau PKR, itu tidak perlu dipersoalkan lagi.

Namun kenyataan terbaru Zaid bahawa dia kecewa dengan PKR agak mengecewakan. Menurutnya, di dalam PKR, dia yang pernah digelar wira suatu masa dulu kini dilabelkan sebagai pengacau.

Perkembangan ini dilihat kurang sihat. Apatah lagi apabila ini semua berlaku berpunca daripada ‘perebutan jawatan’ dalam parti itu.

Walau pun pemimpin PKR adalah orang lama dalam politik, tetapi PKR tetap parti ‘muda’. Dalam parti semuda PKR, sepatutnya perebutan jawatan tidak perlu berlaku.

Kesan perebutan jawatan sangat besar. Lukanya parah. Pengalaman berlaku perebutan jawatan dalam PAS sendiri meninggalkan luka yang mengambil masa panjang untuk sembuh.

Adakah PKR mengheret sama budaya Umno dalam parti mereka? Adakah pemimpin PKR tidak belajar daripada apa yang berlaku kepada Umno apabila berlaku perebutan jawatan?

Kebimbangan paling ketara ialah apabila jawatan dalam parti dijadikan tiket untuk mendapat jawatan dalam kerajaan.

Jika ditakdirkan PR menawan Putrajaya, tentulah mereka yang berjawatan kanan dalam parti yang menang akan mendapat jawatan sebagai anggota kabinet. Adakah itu yang direbutkan?

PKR perlu sedar bahawa gelagat mereka berpolitik, atau politiking dalaman mereka diperhatikan oleh rakyat. PKR jangan terlalu ghairah sehingga rakyat meluat kepada gelagat sumbang itu.

PKR jangan terlalu gahirah untuk merebut jawatan di peringkat tinggi kerana mengidamkan kerusi menteri atau timbalan menteri.

PKR perlu menjenguk ke bawah dan melihat semula sejauh manakah keupayaan jentera mereka di peringkat akar umbi.

Adakah PKR sedar bahawa jentera mereka di peringkat cabang pun belum mencukupi. Apa guna berpucuk hijau jika akarnya tidak teguh? Selama manakah pucuk hijau itu boleh bertahan?

Saranan saya, kalau Zaid Ibrahim sudah tidak tahan lagi dengan gelagat pemimpin PKR yang ada, beliau sepatutnya bersama PAS sahaja.

Di dalam PAS beliau tidak akan jadi Ghafar Baba.

http://sauhdibongkar.blogspot.com

Tiada ulasan: