"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Teoh : S'jaya Diraja Dan Inkues, Tiada Pegawai SPRM Dipanggil Jadi Saksi


SHAH ALAM, 5 MAC: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia mahupun inkues Teoh Beng Hock dilihat tidak menunjukkan sikap yang serius apabila sepanjang siasatan dijalankan sehingga kini, tiada seorang pun pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipanggil sebagai saksi bagi memberi keterangan.

Perkara ini diutarakan oleh Penyelaras Rakyat Menyokong Beng Hock, Eng Yap Hwa dalam satu temu bual eksklusif di TV Selangor.

"Memang saya rasa orang awam sangat kecewa selepas tragedi Beng Hock terjadi kerana nampaknya kerajaan tidak serius langsung kerana tiada seorang pegawai SPRM yang ditahan untuk menolong siasatan dalam satu kes yang mungkin ada terlibat dalam pembunuhan ini," ujarnya.

Adik Mendiang Teoh Beng Hock, Teoh Li Lan menegaskan SPRM hendaklah bertanggungjawab serta tampil memberi penjelasan kepada umum, mengapa mereka gagal melindungi saksi mereka sedangkan mendiang mati selepas disiasat dan meninggal dunia dalam kawasan pejabat SPRM iaitu di Plaza Masalam.

"Itu yang kita menyoal mereka sepanjang satu tahun lebih, kenapa sebagai satu pejabat kerajaan, dia (SPRM) seharusnya bertanggungjawab terhadap kes ini, dia harus menjelaskan kepada kita mengapa dia gagal keselamatan saksinya," katanya.

Li Lan yang juga tidak berpuas hati dengan penubuhan SSD, yang dilihat tiada perbezaan langsung dengan siasatan yang dilakukan sebelum ini (inkues), apabila mengulang penyiasatan yang pernah dibuat inkues.

"Tapi sebagaimana hari ini RCI hanya menjalankan semua siasatan seperti mana inkues jalankan, jadi tidak ada perbezaan antara inkues dan RCI," katanya.

Suruhanjaya Siasatan itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ‘‘keputusan terbuka''.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
-tvsnews-

Tiada ulasan: