"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MTUC Kata Cadangannya Untuk Atasi Kekurangan Tenaga Kerja Tidak Dilaksanakan


PETALING JAYA,  5 MAC: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan melaksanakan cadangannya, yang dikemukakan empat tahun lepas, bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di negara ini.

Presidennya Mohd Khalid Atan berkata cadangan berkenaan "praktikal dan konkrit" tetapi hakikatnya cadangan itu masih kekal di atas kertas sahaja.

Beliau mengulas gesaan Menteri Sumber Manusia  Datuk Dr S. Subramaniam semalam supaya kongres itu membantu kerajaan dalam menyelesaikan kekurangan tenaga kerja dan tidak membantah usaha kerajaan untuk menangani masalah itu.

Mohd Khalid memberitahu Bernama bahawa MTUC sentiasa memainkan peranan proaktif dalam meminimumkan kesan buruk tenaga kerja asing dalam industri tempatan demi kebaikan dan kesejahteraan ekonomi negara.

Badan itu juga sentiasa memperjuangkan masalah pekerja tempatan yang dipinggirkan majikan yang lebih cenderung menggaji pekerja asing, selain keadaan tempat kerja tidak selesa dan gaji rendah, katanya.

Mohd Khalid berkata antara syor dalam cadangan 2007 itu ialah: mengurangkan jumlah syarikat penyumberan pekerja asing, menambah baik keadaan tempat kerja dan gaji, memperkenalkan gaji minimum, penguatkuasaan lebih tegas undang-undang sedia ada dengan menambah jumlah staf di Jabatan Tenaga Kerja, menjadikan Kementerian Sumber Manusia sebagai pihak berkuasa tunggal untuk meluluskan penggajian pekerja asing dan menjalankan kajian di seluruh negara bagi menentukan jumlah kekurangan buruh dan juga dalam industri.

Katanya tiada kajian dilakukan untuk menentukan jumlah sebenar pekerja asing yang diperlukan oleh industri dan oleh yang demikian semua angka yang diberikan ketika ini hanya sekadar anggaran.

Beliau menggesa kerajaan segera melakukan kajian peringkat kebangsaan untuk mendapatkan angka sebenar. Pada masa yang sama, katanya kerajaan perlu menangguhkan cadangan untuk mengimport  45,000 pekerja dari India, menyatakan MTUC membantah cadangan itu.

Subramaniam baru-baru ini mengumumkan kerajaan memutuskan untuk membawa masuk pekerja berkenaan untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja di 13 sektor,termasuk restoran dan tekstil. 
-tvsnews-

Tiada ulasan: