Tiga pakar forensik patologi yang memberi keterangan kepada suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock mengekalkan keputusan bahawa kematian setiausaha politik seorang anggota exco kerajaan Selangor itu disebabkan kecederaan berganda akibat jatuh dari tempat yang tinggi.
Pegawai Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Mohamed Noor; Pakar Perunding Perubatan Jabatan Forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Dr Khairul Azman Ibrahim dan Pensyarah Kanan Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Prashant Naresh Samberkar merupakan saksi yang sama dalam inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam sebelum ini.
Dr Shahidan, yang dipanggil memberi keterangan hari ini, merupakan pakar forensik patologi yang membuat pembedahan kali kedua bersama-sama Pakar Patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand dan Pakar Forensik British Prof Dr Peter Vanezis.
Dr Shahidan turut merumuskan bahawa kecederaan pada leher Teoh disebabkan tekanan yang kuat ketika jatuh.
Dr Khairul Azman, yang selesai memberi keterangan semalam dan Dr Prasant yang selesai memberi keterangan pagi tadi, turut membuat keputusan yang serupa dalam laporan autopsi masing-masing.
Ketiga-tiga mereka juga mendapati Teoh berada dalam keadaan sedar ketika jatuh berdasarkan tindak balas pergerakan tubuh.
Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Suruhanjaya siasatan itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen. Ia dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.
Dalam prosiding hari ini, Dr Shahidan yang ditanya oleh peguam N Navaratham yang mewakili Majlis Peguam, sama ada beliau menerima arahan sesiapa untuk memfokuskan bahagian leher mangsa (ketika bedah siasat) berkata, ia dibuat hasil perbincangan secara profesional dalam kalangan lima doktor yang terlibat iaitu Dr Khairul Azman, Dr Prashant, Dr Pornthip dan Dr Venesis.
Ditanya mengapa lebam pada leher tidak disedari pada bedah siasat pertama dan ia muncul ketika bedah siasat kedua, Dr Shahidan berkata ketika bedah siasat kali pertama oleh Dr Khairul dan Dr Prasant dilakukan, ia mungkin telah ada tetapi tidak dinyatakan dalam laporan.
Prosiding disambung Isnin.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan