SUNGAI PETANI, 4 Mac: Pasangan ini hidup bersekedudukan lebih setahun lalu dan hasilnya dikurniakan seorang 'cahaya mata' berusia kira-kira dua bulan.
Sepanjang tempoh tersebut, wanita itu kerap mengadu kepada jiran yang dia dipukul teman lelakinya.
Malah, difahamkan mangsa pernah lari ke rumah ibunya di Johor Bahru kerana tidak tahan dipukul tetapi kembali berdamai selepas dipujuk teman lelakinya.
Namun, segala-galanya berakhir hari ini apabila wanita terbabit ditemui mati dengan kesan lebam di bahagian kepala.
Mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul yang ditemui di rumah sewanya di Jalan Indah 6, Taman Sejati Indah, dekat sini hari ini.
Mangsa, K. Magapugie, 33, dikatakan bertengkar dengan teman lelakinya berusia 23 tahun selepas didakwa enggan menyerahkan bayi mereka untuk dijual kepada orang lain akibat kesempitan hidup.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad, pada mulanya lelaki itu tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani memaklumkan isterinya mati terjatuh di dalam rumah.
"Suspek membuat laporan polis kira-kira pukul 9 pagi. Bagaimanapun tingkah lakunya yang mencurigakan mendorong polis menghantar sepasukan anggota ke rumah terbabit untuk membuat pemeriksaan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali.
Mohd. Zakaria berkata, polis yang tiba di rumah terbabit mendapati mayat mangsa ditutup rapi dengan kain dan diletakkan di ruang tamu.
"Pemeriksaan lanjut mendapati ada beberapa kesan kecederaan di bahagian badan dan kepala mangsa. Ekoran itu, suspek ditahan bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau memberitahu, berdasarkan keterangan saksi, pasangan tersebut dikatakan bergaduh kira-kira pukul 4 pagi ini.
"Kedua-duanya bertengkar dengan kuat sehingga boleh didengari oleh jiran-jiran pada awal pagi. Tidak lama selepas itu, suspek dikatakan keluar dari rumah dan kembali semula tetapi jiran-jiran tidak lagi mendengar suara wanita terbabit," katanya.
Tambah Mohd. Zakaria, semakan lanjut mendapati, pasangan itu tinggal tanpa ikatan perkahwinan sejak lebih setahun lalu dan hasilnya mempunyai seorang anak lelaki berusia kira-kira dua bulan.
"Suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap sementara mangsa pula tidak bekerja. Kita percaya, pasangan ini menghadapi masalah kewangan kerana didapati gagal membayar tunggakan bil elektrik serta air sejak beberapa bulan lalu," katanya.
Kata beliau, siasatan kes tersebut dianggap selesai berikutan penahanan suspek berkenaan.
"Polis mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori," katanya.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat.
-utusan-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan