Dzulkefly Ahmad
Selepas beberapa hari berkempen Menteri Besar tentunyalah telah menyesal membuat cabaran bahawa PAS tidak punya isu dalam PRK N28 Kerdau. Kenyataan tersebut kini ternyata meleset. Sidang Akhbar semalam telah kami mula dedahkan pelbagai kebejatan serta ketempangan pengurusan kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau. Beliau masih belum menjawab apa-apa dakwaan kami.
Kami akan terus mengkisahkan tentang beberapa lagi kepincangan ini termasuk syarikat-syarikat yang menyaman kerajaan negeri seumpama tuntutan saman bernilai RM 63 juta oleh syarikat Seruan Gemilang Makmur yang telah pun diarah bayar oleh mahkamah. Semacam telah jatuh ditimpa tangga kerajaan Adnan Yaakob kini berdepan pula dengan saman dari dua buah syarikat lagi iaitu Spag’n Plantation Sdn. Bhd [ RM 209 juta ] dan Upayapada (M) Sdn Bhd [RM 24 juta]. Kesemua saman ini melibatkan kes pembalakan.
Sidang ahkbar hari ini kami terus mendedahkan pelbagai perlakuan salah guna kuasa pemimpin Umno/BN Pahang khususnya dalam tempoh berkempen di PRK N28 Kerdau ini serentak menggambarkan betapa tertekannya Umno berhadapan dengan rakyat yang lebih matang dan bermaklumat. Tidak mudah menggula-gula rakyat kini, kecuali pengundi yang tidak terdedah selain dari makulmat media perdana Barisan Nasional.
Kempen kami telah membuktikan bahawa DUN Kerdau jauh terpinggir dalam arus pembangunan negara. Justeru kerana kegagalan merancang pembangunan terdahulu dari PRK ini, maka Perdana Menteri dan Menteri Besarnya amat tertekan untuk meyakinkan pengundi di Kerdau supaya menyokong calon mereka.
Buat pengetahuan semua, janji yang dibuat dalam pilihanraya kecil Sanggang pada tahun 2000 bagi membekalkan air bersih di kampong orang Asli Paya Sendayan gagal ditunai sehingga kini. Pada PRK kali ini, PM sekali terpaksa menjanjikan peruntukan RM9.25juta bagi menaikan taraf loji air Batu Sawar. Tindakan membekalkan air 3 hari sekali yang sedang berjalan adalah gambaran sebenar pengabaian nasib rakyat yang kini mahu dipancing undi mereka.
Sesungguhnya bekalan air bersih bukan sahaja tidak ada di kampung orang asli bahkan 10 kampung tradisi di pinggir sungai pun tak tergendala bekalan air bersihnya termasuk Kampung Galok, Galok Kecil, Telok Santong, Desa batu Purun, Paya Perak, Paya Sendayan, Dingkir, Kerai, Pulau Pasir Mandi dan Batu Sawar. Najib dan Adnan buat apa selama ini. Ingatkan hanya pedalaman Sarawak dan Sabah sahaja yang tidak ada bekalan air bersih! AstaghfirulLah! Ini lah tradisi membela rakyat. Terima Kasih Umno/BN!
Justeru kerana itu, maka tepatlah tuduhan rasuah dan membeli undi rakyat oleh pimpinan tertinggi Umno/BN apabila Perdana Menteri sendiri melakukannya dihadapan umum tanpa segan silu dengan menyatakan bahawa ”Saya bukanlah hendak membeli undi. TETAPI kalau kamu menyokong kami (BN), saya akan tambah lagi peruntukan esok atau lusa. Dengan syarat kamu tunjukkan sokongan kepada BN terlebih dahulu”.
Ya lah, dah tak buat kerja selama hari ini, mestilah segera hendak menangi hati-budi pengundi. Maka berikan sogokan mee-segera. Sampai Qiyamatlah orang Kerdau dan orang Kulau Krau bahkan Pahang di takok ini,kalau bersedia disogok dan dikelabui mata mereka dengan segala ‘sogokan’ rasuah ini.
Ucapan ini mengingatkan rakyat apa yang juag diucapkan oleh Perdana Menteri dalam PRK Sibu dengan kata-kata rasuah beliau ”You help me, I help you!”. Sebagaimana pengundi di Sibu bijak menilai lantas menolak sogokan tersebut dengan terus memberi undi kepada calon Pakatan Rakyat, demikian juga harapan kami kepada pengundi DUN Kerdau.
Kerana terdesak bagi mendapat undi kaum Cina, India dan kaum asal, PM secara terbuka meluluskan peruntukan RM400,000 untuk Dewan Terbuka Kampong Seri Kerdau, RM150,000 untuk Balai Bomba sukarela dan RM100,000 untuk Kuil Hindu.
Ini tidak termasuk pemberian berbentuk hampers dan makanan yang diedar di kampong Baru Kerdau oleh Menteri Kesihatan sebagaimana dilaporkan oleh RTM dan 100 kotak pemberian makanan yang dihiasi gambar Najib dan Shahrizat dengan slogan “Mengakhiri Zaman Miskin”. Boleh kah begitu sahaja? Mudahnya.
PAS mengharapkan satu tindakan tegas mesti diambil oleh pihak SPRM dan SPR yang terang-terangan bertentangan dengan peruntukan Akta Kesalahan (Penjalanan) Pilihanraya (1954). Rakyat wajar memilih calon PAS bagi mengejutkan pemimpin Umno/BN dari tidur mereka yang terlalu lama. Mereka akan melutut kepada rakyat sebaik sahaja PAS menang dan rakyat akan terbela. Itu resipi mujarabnya untuk Umno/BN yakni kalahkan mereka!
Dewan Pemuda PAS negeri telah membuat laporan Polis, SPRM dan SPR atas pelanggaran Akta Pilihanraya.
Adnan masih percaya PAS ketandusan modal untuk berkempen? “Pepatah Bahasa Inggeris ada menyebut: “Orang yang tinggal dalam rumah kaca, jangan baling batu”. Anda silap Adnan! Anda cari nahas sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan