"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tidak mustahil BN beri percuma Putrajaya menjelang PRU14

Zefry Dahalan
JEMPOL: Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, tidak mustahil Umno-Barisan Nasional (BN) akan menyerahkan Putrajaya dengan percuma kepada Pakatan Rakyat, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.


Mohamad Sabu yang lebih popular dengan gelaran Mat Sabu memberikan andaian tersebut apabila merujuk kepada kenyataan beberapa pakar ekonomi baru-baru ini pada majlis ceramah umum di Dataran Muasasah Darul Sharif, Batu Kikir, Jempol yang dihadiri lebih 1,000 penyokong malam Ahad lalu.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala meramalkan Malaysia akan bankrap pada tahun 2019. Pakar ekonomi, pensyarah Universiti Industri Selangor (Unisel) berkata Malaysia mungkin akan bankrap pada 2015.

“Kalaulah benar-benar terjadi begitu; katalah pada PRU-13 tahun ini BN menang, BN masih memerintah Putrajaya. PRU akan datang dijadualkan pada tahun 2016.

“Kalau berlaku bankrap pada tahun 2015; ketika PRU ke-14 pada tahun 2016, Umno-BN akan beri sahaja Putrajaya kepada Pakatan Rakyat.

Dia tidak akan lawan dah!

“Kamu Mat Sabu nak jawatan Menteri? Ambik! Ambik negara bankrap! Kamu nak memerintah Negeri Sembilan? Ambik! Ambik! Kita tidak mahu setelah Malaysia bankrap baru nak beri kita memerintah,” kata Mat Sabu dan disambut dengan gelak ketawa oleh para hadirin.

Mat Sabu turut membawa orang ramai yang hadir pada malam itu mengimbas kembali bagaimana Greece dan Iceland menjadi bankrap.

Mat Sabu memberitahu bagaimana Greece yang pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada tahun 2004 yang sudah tentu hanya negara yang mampu dari segi kewangan dan kemudahan sukan yang mencukupi sahaja boleh menjadi tuan rumah penganjuran sukan terbesar di dunia itu.

“Untuk menganjurkan Sukan Olimpik negara kita tidak bersedia dari segi bilangan padang sukan, kolam renang, gelanggang lumba basikal dan sebagainya.

Jalan menuju bankrap terbuka luas
“Semua orang puji Greece maju dan hebat ketika itu. Beberapa tahun tidak lama selepas itu Greece menjadi bankrap. Di Malaysia jalan menuju bankrap terbuka luas.

“Wang yang dikeluarkan secara haram dari Malaysia dalam masa 12 tahun ialah sebanyak RM1.077 trillion.
“Orang Jempol tahu tak trillion itu macam mana? Tahu? Aku pun tak tahu….,” kata Mat Sabu dengan berseloroh dan sekali lagi gelak ketawa orang ramai menggamatkan suasana di Muasasah Darul Sharif.
“Kita paling banyak tengok ribu. Ratus ribu jarang. Juta tak pernah. Kalau macam bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo pernahlah tengok juta.

“Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan pernahlah tengok juta sebab dia hantar RM10 juta ke luar negara melalui Money Changer (pengurup wang).

“Money Changer dikenakan tindakan, Menteri Besar tuan-tuan tidak diambil tindakan,” jelas Mat Sabu.
Mat Sabu turut memberitahu hadirin bahawa pada zaman bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, negara telah kehilangan sebanyak RM100 billion mengikut sebuah penulis buku.

Beliau berpendapat jika apa yang ditulis oleh penulis buku itu tidak tepat, dah tentu sudah lama Mahathir menyaman penulis buku tersebut iaitu Barry Wain.

Hutang negara pada paras bahaya

Mat Sabu turut menyentuh hutang negara merujuk kepada pengumuman di Parlimen minggu sebelumnya.
“Hanya dua peratus sahaja lagi daripada menemui garis kecemasan.

“Contohnya katalah hutang negara ialah RM460 billion sekarang ini dan bersamaan dengan 48 peratus misalnya. Hutang negara kita boleh berhutang 50 peratus, bermakna hanya berbeza dua peratus sahaja lagi. Ertinya kedudukan kewangan dalam negara kita menuju bahaya.

“Walaupun dalam keadaan begini kerajaan BN tidak insaf. Mereka terus boros seperti biasa. Dalam masa 11 minggu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berbelanja lebih RM609 juta,” ulas Mat Sabu lagi.
Justeru itu Mat Sabu meminta rakyat menyelamatkan kekayaan negara dengan menukar kerajaan di peti undi pada PRU-13 tidak lama lagi.

Turut menyampaikan ceramah ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani dan pemimpin PKR serta DAP Negeri Sembilan.

Tiada ulasan: