"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Murtad: Hasan Ali dendam peribadi atau iri hati?

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 4 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyelar kenyataan Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Ali yang berterusan menunjukkan serangan yang bermotifkan dendam peribadi terhadap Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Abdul Rani Osman.
“Dengan tanpa usul periksa maka Hasan Ali terus-terusan melempiaskan amarah beliau terhadap Dr Abdul Rani kerana termakan dengan ‘hasutan jahat dan fitnah’ media massa yang telah memutarbelitkan kenyataan sebenar Dr Abdul Rani berkenaan isu gejala murtad yang semakin meruncing di dalam negara ini,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar).

Justeru, kata beliau, pihaknya merasakan Hasan semakin bercelaru di dalam tindakan beliau untuk menangani isu murtad apabila tidak menggunakan saluran yang sebenarnya di dalam menyelesaikan isu terbabit.

Sepatutnya, ujar beliau, Hasan perlu menyerahkan segala pembuktian yang ada dalam simpanannya kepada pihak yang berwajib untuk diambil tindakan yang sewajarnya.

“Tetapi Datuk Hasan Ali nampaknya lebih selesa ‘pusing satu Malaysia’ untuk mengecam individu-individu tertentu di dalam PAS yang telah menyebabkan beliau dipecat daripada PAS di atas pentas Umno daripada membicarakan isu murtad,” katanya kepada Harakahdaily.

Hasbullah menambah, pihaknya turut mengecam sikap ‘double standard’ Hassan yang hanya ‘berkokok’ setelah kehilangan kuasa Exco Kerajaan Selangor untuk membangkitkan soal isu murtad sedangkan masalah itu bukan baru wujud dan tidak hanya berlegar di negeri Selangor tetapi telah menjadi isu nasional.

“Sepatutnya Datuk Hasan Ali memberikan tekanan kepada pihak kerajaan persekutuan yang ditunjangi oleh Umno untuk mengambil cakna terhadap isu murtad ini dengan menggubal dan melaksanakan undang-undang hudud di peringkat nasional,” katanya.

Selain itu, tambahnya hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu sejak tahun 90-an lagi perlu disokong untuk mempastikan gejala murtad dapat dibendung.

Sehubungan itu, tegasnya Pemuda PAS negeri mencabar Hasan supaya dapat memperjuangkan isu murtad dan pemurnian aqidah itu kepada pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

Ini, katanya kerana isu itu berlaku dan terus ‘subur’ adalah disebabkan ‘kejayaan’ mereka memerintah negara ini selama 50 tahun lebih.

Menurutnya, Umno dan Barisan Nasional adalah sangat ‘mesra dan akrab’ dengan budaya maksiat, politik kotor dan gejala-gejala yang merosakkan akhlak masyarakat sehingga menyebabkan mereka terperangkap di dalam dunia jahiliyyah moden yang tidak mempedulikan lagi antara batas-batas iman dan kufur.

Oleh itu, katanya Pemuda PAS negeri Selangor mengharapkan semoga Hasan akan menyambut cabaran Pemuda dan mengagendakan isu murtad dan pemurnian aqidah itu secara konsisten sehingga Kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan undang-undang hudud di peringkat pusat.

“Janganlah hanya kerana kehilangan jawatan dan pangkat menyebabkan emosi diri menguasai pertimbangan akal sehingga tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk, sahabat dan musuh yang sebenarnya,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: