PUTRAJAYA: Teka teki nama sebenar model kereta terbaru Proton akhirnya terjawab apabila Proton Holdings Berhad (Proton) mengumumkan Proton Preve sebagai model terbaru keluarannya yang selama ini menggunakan kod P3-21A.
Nama Preve yang diambil daripada perkataan Inggeris, Proof (bukti) ini membawa mesej bahawa kereta itu adalah bukti kepada visi dan komitmen Proton yang berterusan.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, nama tersebut juga adalah seiring dengan hasrat Proton untuk membawa Proton Preve ke peringkat global.
“Jika ingin ke peringkat global, nama yang dipilih juga haruslah sesuai dan bersifat antarabangsa. Justeru itu, kami memilih Preve bagi membuktikan ianya lebih bermakna,”katanya selepas majlis pandu uji Proton Preve bersama media disini, hari ini.
Dengan berkonsepkan sedan keluarga yang elegan dan selesa, Proton Preve disasarkan untuk pengguna yang sudah berkahwin berusia di antara 20 hingga lewat 40 tahun serta untuk mereka yang ingin memiliki kereta tambahan.
Menggunakan enjin 1.6 Liter, dan teknologi RESS (kejuruteraan boleh dipercayai dan sistem keselamatan) yang akan memastikan pemanduan dan pengendalian yang cemerlang, model ini turut direka bagi mencapai standard kualiti seperti Jepun.
Didatangkan dengan tiga varian pada harga bermula daripada RM62,000 sehingga RM75,000, dan enam pilihan warna, Proton Preve akan dilancarkan sedikit masa lagi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, Proton Preve akan mula memasuki pasaran Asia dalam tempoh tiga bulan selepas pelancarannya di Malaysia dan menyasarkan jumlah eksport menyumbang lebih 30 peratus kepada jumlah keseluruhan jualan model Proton untuk tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan