Masdar Wahid
KUALA LUMPUR: Jika Turki yang tiada sesen pun hasil minyak mampu memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya, tiada sebab Malaysia yang mencatat untung RM90 bilion setahun dari sumber petroleum tidak berupaya melakukan kebajikan sama.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Recep Tayyib Erdogan memberi pendidikan percuma kepada rakyat dari peringkat rendah hingga universiti walaupun baru tiga tahun memerintah Turki.
“Bila kita sebut mansuh PTPTN, isu utama yang harus difokus ialah pendidikan percuma untuk semua rakyat terutama golongan miskin. Bukan isu nak pindahkan wang Petronas bayar PTPTN.
“Prinsip asasnya ialah pendidikan percuma dari peringkat rendah hingga ke universiti,” katanya pada dialog bertajuk ‘Pemberdayaan Kebajikan dan Ekonomi Rakyat’ anjuran Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor di Subang Jaya 31 Mac lalu.
Beliau mengakui PTPTN adalah isu paling popular yang diaju kepadanya termasuk di facebook dan twitter.
Walaupun PTPTN dimansuh, Anwar berkata, Pakatan Rakyat memberi jaminan tidak akan membuang kakitangan di perbadanan itu kerana mereka akan diserap ke Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Walaupun pegawai ramai, kita juga tetap pastikan khidmat atau mutu kerja mereka bertambah baik untuk rakyat,” katanya.
Mengenai pemberian 20 peratus royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan seperti yang termaktub dalam Buku Jingga, Anwar berkata ia tidak akan menjejaskan negeri lain.
Ini kerana, katanya, 80 peratus hasil minyak itu mampu menampung perbelanjaan negara dengan memastikan royalti diurus mengikut pengurusan yang baik.
“Keutamaan royalti 20 peratus difokus kepada golongan miskin. Apabila kita menyebut kemiskinan ia merangkumi sama ada Melayu, Dayak, Iban, Kadazan, Cina dan India.
“Pada masa sama, kita memperketat prosedur kewangan selain pengurusannya dijalankan individu yang bertanggungjawab, amanah dan berintegriti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan