Aspan Alias
Ura-ura Tok Guru Hadi Awang (TGHA) untuk bertanding di kawasan Parlimen Pekan amat menarik perhatian ramai termasuk diri saya sendiri. Jika benar apa yang disebut oleh Presiden PAS itu akan terjadi maka BN terpaksa melakukan banyak perkara yang ‘unorthodox’ bagi menampung sokongan yang semakin mengecil terhadap UMNO dan Najib di seluruh negara.
Tindakan TGHA itu sedikit sebanyak akan menjejaskan prestasi BN di Pahang dan akan memberikan impak yang bukan kecil kepada pengundi-pengundi di kawasan yang kini menjadi harapan kepada PR rakyat di negeri itu. Ada lapan kerusi parlimen yang dalam keadaan ‘reachable’ bagi PR di Pahang sebelum Hadi memberikan indikasi untuk bertanding di Pekan. Jika benar-benar TGHA pergi bertanding di Pekan maka harapan bagi lapan kerusi parlimen di Pahang untuk jatuh ke tangan PR akan bertambah cerah.
Keputusan saya bergantung kepada parti.
Pendeknya, keputusan TGHA untuk bertanding di Pekan itu bukan sahaja menjadi isu besar kepada BN di Pekan, malahan ia akan menambahkan pengaruh dan rangsangan penyokong PR untuk memenangi kerusi-kerusi yang selama ini menjadi idaman PR di Pahang itu. Di antara kerusi-kerusi yang memberikan potensi besar kepada PR ialah Raub, Jerantut, Bera, Cameron Highland dan beberapa yang lain selain daripada mempertahankan kerusi Kuantan dan Indera Mahkota.
Mahu tidak mahu pertandingan di antara TGHA dan Najib ini mesti diakui sebagai ‘the fight of the titans’ dan Pekan akan menjadi kawasan yang menjadi fokus rakyat dalam PRU ini. Perlu diingat Pekan bukan semestinya satu kawasan yang mustahil bagi BN dikalahkan. Telah tercatat di dalam rekod dan sejarah pilihanraya di negara ini yang BN pernah memenangi hanya 241 undi sahaja dalam pilihanraya 1999 dahulu. Jika ‘aura’ kebangkitan rakyat meninggi, kedudukan Najib sebagai PM yang selalunya sudah untuk ditandingi akan hilang kerana rakyat bergerak seiring dan sehayun untuk menukar kerajaan yang sudah terpalit dengan persepsi buruk rakyat sekarang ini.
TGHA sudah pasti melalui jalan yang susah di Pekan dan ini boleh dianggapkan sebagai satu pengorbanan peribadi terhadap perjuangan PAS. Jika TGHA tewas sekali pun menghadapi Najib tetapi penyertaan TGHA di Pekan itu menambahkan kekuatan dan iltizam untuk PR meraih kemenangan di kawasan-kawasan lain di Pahang dan seluruh negara.
Bagi TGHA menang kalah itu adalah perkara biasa bagi pemimpin PAS selama ini. TGHA pernah kalah di Parlimen Marang, tetapi perjuangan tetap terus terlaksana sehingga ke hari ini. Kalah menang sudah menjadi mainan bagi pemimpin-pemimpin PAS dari dahulu hingga sekarang.
Dalam UMNO sekarang sedang sibuk mencari calon ‘winnable’ tetapi masalahnya UMNO itu sendiri sudah menjadi sebuah parti yang tidak ‘winnable’ lagi. Sebaliknya, PAS merupakan sebuah parti yang ‘winnable’ maka calon-calon yang diturunkan oleh parti itu dengan sendirinya menjadi ‘winnable’ kerana mereka mewakili parti yang amat ‘credible’ dan ‘winnable’.
PAS tidak seperti UMNO kerana kehadiran PAS di tengah masyarakat kini amat dirasai. UMNO tidak lagi dirasai kehadirannya kerana cawangan-cawangan UMNO tidak bergerak lagi kerana tidak mendapat sambutan di kalangan anak-anak muda di kampung-kampung lagi. Dalam UMNO hanya Presidennya sahaja yang bekerja, mundar-mandir ke hulu ke hilir ke seluruh negara dan bercakap banyak yang tidak terbawa oleh badan beliau sendiri. Najib ke hulu ke hilir berjanji dengan semua orang sehinggakan janji-janji beliau itu membolehkan beliau mengalih dan memikul bumi yang besar ini. Bumi ini pun beliau berjanji akan mengalihkannya.
Tetapi kita jangan terlalu ghairah kerana PAS belum menentukan lagi samada membenarkan TGHA bertanding di Pekan atau pun tidak. Tetapi kenyataan TGHA yang beliau berkemungkinan ke Pekan untuk bertarung dengan Najib itu memberikan impak yang besar kepada suasana politik negara ini.
Rakyat sudah mula bertanya jika kepimpinan tertinggi PAS berani untuk bertanding di kawasan dan kubu UMNO seperti Pekan, tidakkah terfikir oleh BN untuk meminta Presiden UMNO bertanding di salah satu kawasan di Kuala Lumpur atau di mana-mana kawasan yang dianggap sebagai kubu PAS, PKR atau DAP?
Jika Lee San Choon, Presiden MCA suatu ketika dahulu berani bertanding bagi pihak BN di Seremban, kubu kuat DAP pada pilihanraya 1982 dahulu takkanlah Najib takut untuk bertanding di kawasan-kawasan yang selama ini kawasan tradisi mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat pula
Najib yang begitu angkuh dengan program pembaharuan yang tidak terlaksana itu dan mengaku hebat sebagai PM yang terbaik di dalam sejarah negara, beliau patut bertanding di Kuala Lumpur dan saya cadangkan supaya BN mendesak Najib bertanding di kawasan Bukit Bintang atau Siputeh ATAU yang lebih baik bertanding di Selangor kerana beliau adalah pengerusi UMNO perhubungan Selangor. Najib banyak pilihan untuk menunjukkan kejantanan beliau. Jika hendak menunjukkan kejantanan beliau, Permatang Pauh mungkin kawasan yang agak tepat untuk tujuan itu.
Jika Najib bertanding di Kuala Lumpur dan menang, barulah beliau boleh dianggap sebagai hero UMNO seumur hidup. Tidak guna mengaku kuat tetapi tidak berani mengalih kawasan pilihanrayanya. Seseorang yang kuat dan diterima oleh semua pihak sepatutnya berani bertanding di mana-mana dan menang.
Jika Najib berani bertanding di Bukit Bintang maka Chua Soi Lek dicadangkan bertanding di Seputeh dan menang. Barulah terbukti kekuatannya dan Chua Soi Lek boleh bercakap besar. Setakat ini Chua Soi Lek hanya bercakap besar tanpa ada bukti untuk menunjukkan kehebatannya.
Begitu juga Tengku Adnan Mansor, Setiausaha Agong UMNO dan BN. Tengku Adnan pula bercakap bergegar-gegar maka saya cadangkan beliau bertanding di PJ Selatan atau di Ipoh Timur. Jika beliau menang barulah boleh berkokok dari pagi hingga ke petang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan