"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kondo Batu Caves: YDP Selayang diarah bertukar kerana dedah pembohongan BN

Norutul Ilham
KUALA LUMPUR 15 Nov: Penukaran Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin A’ala dibuat ekoran kenyataannya bahawa pembinaan kondominium Batu Caves di Selangor diluluskan era pentadbiran BN.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu percaya arahan pertukaran itu selepas Zainal pada 30 Oktober lalu menafikan dakwaan BN bahawa projek kondominium Dolomite Park Avenue itu diluluskan semasa pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Tiba-tiba dia dapat arahan ditukarkan ke tempat lain. Jadi janganlah salahkan saya kalau saya rasa ini merupakan satu tindakan yang luar biasa.

“Satu tindakan yang ada unsur sembunyi sebab Datuk Zainal Abidin jalankan tugas dengan baik jujur ikhlas cakap apa yang benar, tapi tiba-tiba dikeluarkan daripada Selayang,” katanya kepada media.

Zainal dilapor telah diberi notis mengejut dipindahkan ke Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), bermula esok.

Ronnie yang kesal dengan tindakan itu berkata, penukaran Zainal berkuat kuasa serta merta itu seolah-olah menghukum orang yang bercakap benar.

“Beliau jadi mangsa keadaan sebab dia terpaksa beritahu projek itu bukan diluluskan zaman dia (Pakatan), dia perlu cakap zaman BN. Memanglah kebenaran itu menyakitkan.

“Itu tak adil, YDP tak boleh dianggap macam ketua bahagian sahaja, (YDP) satu jawatan yang perlu diberi penghormatan. Kalau nak transfer (tukar) pun, tanyalah kerajaan negeri dulu,” ujarnya.

Projek kondominium 29 tingkat itu diluluskan pada 2007 oleh MPS semasa kerajaan negeri berada bawah pentadbiran BN.

MIC baru-baru ini menganjurkan demonstrasi bagi membantah pembinaan projek berkenaan yang terletak berhampiran kuil Subramaniar di Batu Caves.

Pada 8 November lalu, terbongkar minit mesyuarat MPS bertarikh 29 November 2007 mengesahkan, projek itu turut disokong oleh ahli majlis dari MIC.

Tiada ulasan: