"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cabul remaja, cif inspektor dihukum penjara 14 tahun dan 10 sebatan

Kota Bharu: Seorang pegawai polis berpangkat cif inspektor dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas didapati bersalah terhadap tuduhan memaksa seorang remaja perempuan berusia 15 tahun melakukan seks oral dan mencabul mangsa, empat tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu terhadap Ishak Mahmud, 49, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Ishak didapati bersalah memaksa remaja itu melakukan seks oral dalam sebuah kereta peronda polis Proton Perdana di Kampung Air Terjun Bentagor, Pasir Puteh, pada jam 2 pagi, 2 Oktober 2009.

Dia turut menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan remaja terbabit pada waktu, tarikh dan tempat sama.

Bagi tuduhan pertama mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, Ishak dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan manakala bagi tuduhan kedua pula, dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan lima sebatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Bagaimanapun, Azman memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak berkuat kuasa, semalam.

Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin mengendalikan kes pendakwaan manakala tertuduh diwakili Datuk Sukri Mohamed.

Sebaik hukuman dijatuhkan, Sukri memohon mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sebelum rayuan dikemukakan.

Beliau berkata, tertuduh sebelum ini pernah diikat jamin RM10,000 dan tidak pernah gagal hadir ke mahkamah.

Intan Nor Hilwani membantah dan menjelaskan tiada alasan untuk tertuduh dibenarkan berbuat demikian.

Selepas meneliti perkara itu, Azman membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu dengan menetapkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan syarat penjamin mesti isterinya.
-hmetro-

Tiada ulasan: