Subky Latif
Apakah urusan beli kapal selam Perancis, Scorpene suatu skandal atau tidak, boleh ditentukan oleh kenyataan seorang individu baik di luar mahkamah atau dalam mahkamah.
Sekalipun Suaram menggunakan bidang undang-undang dalam dan luar negeri bagi membuktikan ia adalah satu skandal menteri pertahanan pada masa itu masih ada yang berkata mereka tidak mempercayainya, maka sudah tentu seorang individu yang mengatakan ia bebas skandal tidaklah boleh dipegang 100 peratus.
Tetapi menteri Shabery Cheek membuat kenyataan bahawa dia seperti puas hati dengan kenyataan individu seperti sah urusan pembelian itu bebas skandal sekali gus mengira bahawa isu yang dipelopori Suaram dan disokong sekalian pembangkang itu adalah karut.
Pada menteri itu apa yang dibangkitkan selama ini sama ada oleh pembangkang di negara ini yang cuba menggunakan saluran undang-undang dan apa yang dilakukan oleh peguam Perancis bagi memastikan syarikat di Perancis tidak terbabit dalam skandal bolehlah dimasukkan saja ke bakul sampah.
Secara umum dari aspek undang-undang menteri dan mana-mana individu yang dikatakan jadi watak dalam skandal itu belum boleh dikata bersalah selagi tidak disahkan bersalah oleh mahkamah. Walaupun orang belum dijatuh hukum itu dikira bersih dari segi undang-undang, tetapi umum melihatnya tidak begitu bersih selagi mahkamah tidak membersihkannya.
Oleh sebab isu skandal ini adalah benda yang tergantung, maka tidaklah semua pihak boleh berpuas hati watak-watak itu bersih atau kotor. Dia boleh bersih dan dia boleh kotor.
Menteri yang berpuas hati dan yakin tidak ada skandal atas pengakuan seorang individu adalah seorang ahli akademik yang ada kelas sebelum berpolitik. Dan sebagai seorang ahli akademik selalu didengar sindiriannya yang tajak:
Siakap senohong gelama ikan duri, cakap bohong lama-lama jadi menteri.
Menteri yang ada latar belakang akademik tentulah tidak sama dengan yang tidak ada latar belakang akademik. Tan Sri Rafidah Aziz misalnya, kerana dia juga dulunya orang akademik, maka dia tidak boleh sama dengan Shahrizat Jalil yang berdalil dan berdalih.
Shahidan Kassim, Tengku Adnan atau Mahfuz Omar tiada latar bakang akademik, maka orang pun tidak harap sangat mereka mempertahankan dunia akademik. Tetapi orang akademik tak boleh buat sebarangan. Kalau orang akademik tidak jaga nilai dan dunia akademiknya nescaya runtuhlah dunia ilmu. Ilmu yang mulia itu akan jadi sama dengan ilmu sihir.
Bagi ahli akademik, rencana dan buku yang tidak ada nota kaki, seperti tulisan dan buku saya, dikira buku picisan. Tak adalah tulisan saya dikira picisan kerana saya bukan orang akadamik dan tidak pernah mendapat didikan akademik.
Orang akademik tak boleh buat begitu. Orang akademik sebelum dia sahkan sesuatu itu palsu atau benar, maka dia pastikan sumbernya. Dia buat penyelidikan. Jika tidak cukup bukti, ditawakuf dulu.
Hakimpun tidak percaya semua apa yang dicakap di mahkamah walaupun sudah didahulu dengan bersumpah. Dia kena pastikan saksi itu palsu atau tidak. Hakim tahu adanya loyar buruk dan hakim beruk. Maka sekadar dengar kenyataan seorang saksi, belum boleh dia buat keputusan.
Kemudian Suaram keluar kenyataan pertikai wibawa orang yang buat kenyataan tentang skandal itu. Lagilah saya tidak dapat bergantung kepada kenyataan seorang individu. Inilah Islam pesan apabila datang khabar dari orang munafik, pastikan kesahihannya. Itulah akademik dan ilmu.
Jika saya janda, wali saya itu dikata begitu dan begini, saya cari wali lain bagi menikahkan saya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan