"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siri 2 : 'The awakening', Dr Mahathir dan Abdullah

Aspan Alias
Permintaan agak ramai dari pengikut blog ini ini untuk saya meneruskan menulis isu tentang Pak Lah dan Mahathir seperti yang dihebohkan hasil dari terbitnya buku ‘The awakening: Abdullah Badawi years in Malaysia’ yang saya sentuh semalam. Seperti yang di jangkakan isu perkelahian Dr Mahathir dengan Pak Lah ini pastinya menjadi isu hangat kerana sememangnya kedua-duanya sememangnya dalam keadaan bermusuhan dan seteru ‘intra-politics’ dalam UMNO itu sendiri.
Perbalahan diantara kedua-dua pemimpin ini tidak terkejut berlaku kerana ia didasarkan kepada niat dan politik peribadi yang disalut dengan kepentingan dan kemahuan peribadi masing-masing. Kalau tidak kerana politik tidak mungkin mereka berdua berkelahi kerana perkelahian diantara mereka yang sudah tua ini amat buruk pada pandangan yang melihatnya.

Dr Mahathir bukan sahaja berjaya menurunkan Hussein Onn yang melantik beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO. Sebelum itu Dr Mahathir juga merupakan pemain penting yang telah memaksa Tunku Abdul Rahman turun dari kepimpinan negara. Tunku semasa akhir hayatnya mengaku yang beliau telah terlebih masa duduk dipuncak kepimpinan dan ini meresahkan Tun Razak yang telah menjadi Timbalannya selama lebih dari satu dekad.

Dr Mahathir telah menganyang Tunku pada tahun 1969 dahulu dengan berbagai-bagai cara dan akhirnya pada penghujung tahun 1970 telah meletakkan jawatan dan memberikan laluan kepada Tun Razak untuk mengambil alih kepimpinan negara. Tun Razak telah memberikan Dr Mahathir jawatan kabinet sebagai Menteri Pelajaran setelah beliau kembali diterima sebagai ahli UMNO.

Boleh dikatakan kenaikan Dr Mahathir sedikit sebanyak oleh Tun Razak adalah kerana membalas budi Dr Mahathir kerana menurunkan Tunku pada tahun 1969 dan 1970 dahulu. Ramai telah menyangkal pandangan ini kerana di masa itu cara permainan politik begitu halus dan susah hendak difahami oleh orang awam kerana hendak menjaga perpecahan dari berlaku.

Semasa Dr Mahathir menjadi Timbalan Perdana Menteri Hussein Onn begitu tertekan dengan apa yang dilakukan oleh Timbalannya dan yang paling menyayat hati Hussein ialah apabila beliau (Hussein) ditandingi diperingkat Presiden parti oleh Sulaiman Palestin pada tahun 1977 atau tahun 1978 dahulu. Sebagai seorang yang begitu memnetingkan sokongan padu sedikit undi yang diperolehi oleh Sulaiman Palestin itu mencukupi bagi Hussein untuk meletakan jawatan.

Hussein berfikir dan akhirnya beliau dalam perhimpunan itu juga mengumumkan yang beliau tidak akan mengekalkan jawatan beliau pada pemilihan parti yang berikutnya, iaitu pada tahun 1981 dahulu. Beliau bukannya merajuk kerana pertandingan itu, tetapi beliau berkecil hati kerana pertandingan itu di dorong oleh Timbalannya yang beliau telah lantik sendiri.

Moralnya Hussein telah mengamalkan semangat demokrasi yang tulin. Sewaktu itu ada sedikit sebanyak tentangan terhadap kepimpinannya beliau mengambil keputusan untuk berundur walaupun beliau mendapat majoriti lebih dari seribu undi. Beliau tahu yang Timbalannya sangat berkendakan jawatan itu secepat yang mungkin.

Itulah rupanya politik jika dipimpin oleh orang-orang dari kelas aristokrat dan ia amat berbeza dengan pimpinan selepas beliau yang mempunyai mentaliti seperti mentaliti ‘migrant’ yang telah merobah keseluruhan semangat dan budaya politik demokrasi sejak dari saat itu. Bermula dari saat itulah hilangnya sifat ‘magnanimity’ kepimpinan dan pemimpin UMNO selepas Hussein merupakan pemimpin yang membawa budaya dan semangat demokrasi acuan yang berlainan.

Bermula dari saat itu pemimpin UMNO adalah dari gulungan yang hati yang kecil dan fakir jiwanya dengan mangambil kuasa itu sebagai kuasa yang mutlak bagi dirinya sendiri sahaja. Kuasa itu amat penting bagi diri-diri mereka dan bukannya kuasa besar untuk parti yang mereka pimpin lagi.

Pimpinan sejak selepas Hussein Onn mempunyai kompleks ‘inferiority’ yang besar dan pucuk pimpinan bermula dari saat itu mudah takut dengan bayang-bayang kerana kemiskinan jiwa kepimpinan mereka tadi.

Dari saat itu jugalah bermulanya pembersihan parti dari pemimpin-pemimpin yang ditakuti oleh Dr Mahathir dan usaha ini dilakukan dengan begitu sistematik sehingga sampai beliau bersara setelah 22 tahun duduk diatas kuasa. Dizaman kepimpinan ini, usaha untuk mewujudkan kepimpinan pelapis yang berkalibar tidak langsung dibuat malahan semua pemimpin yang berkemampuan yang dididik oleh Tun Razak bersama beliau sendiri (Mahathir) telah dikeluarkan oleh Mahathir dengan begitu sistematik.

Sepatutnya Mahathir membina pemimpin-pemimpin pelapis dalam UMNO, sebaliknya beliau hanya mengumpulkan pemimpin-pemimpin ‘pelapik’ sahaja untuk menjadi pasak bagi menguatkan cengkaman beliau terhadap parti yang menaikan beliau selama itu.

Mahathir sememangnya mempunyai kemahiran dalam bidang menjatuhkan pimpinan yang beliau rasakan akan menggugat dan mempengaruhi pengaruhnya dalam parti UMNO itu. Maka wujudlah pemimpin yang terbit dari kumpulan pengampu dan pengangguk yang sentiasa menumpukan politik mereka untuk memberikan ‘amusements’ terhadap Dr Mahathir sahaja. Mahathir terkenal kerana mempunyai kemahiran memecah dan membelahkan sesiapa yang beliau rasakan akan menyaingi kepimpinan beliau.

Tengku Razaleigh dan Musa Hitam merupakan dua orang yang dididik oleh Tun Razak untuk kepimpinan masa depan negara bersama Dr Mahathir tetapi kedua-dua Musa dan Razaleigh adalah mangsa pertama dalam politik pecah perintah Dr Mahathir Mohammad itu. Mahathir tidak mahu sesiapa yang berkemampuan berada di keliling beliau.

Semasa itu ramai yang sedar musuh Musa bukannya Tengku Razaleigh dan musuh Tengku Razaleigh bukannya Musa. Sebenarnya mereka berdua mempunyai musuh yang sama iaitu Dr Mahathir Mohammad. Lama kelamaan ahli-ahli UMNO sendiri mulai merasakan yang Dr Mahathir telah memusyuhi semua yang mempunyai kredibiliti kepimpinan dan UMNO mula lemah dan lemah dari masa kesemasa.

Semasa pemerintahan Dr Mahathir hanya beliau sahaja yang dibenarkan berfikir dan yang lain hanya wajar menjadi pengangguk beliau sahaja. Setelah beliau memegang kuasa selama 22 tahun tanpa ada usaha memina kepimpinan negara maka terhasillah pemimpin yang kalibarnya seperti yang ada kepada Abdullah Badawi dan sekarang Najib Tun Razak sendiri.

Itulah kesangsaraan yang sedang dihadapi oleh UMNO itu sekarang ini, iaitu tiada lagi mempunyai kepimpinan yang berwibawa. Pemimpin yang berwibawa telah mati bergelimpangan hasil penangan kepimpinan Dr Mahathir. Tiada siapa yang berwibawa mempunyai ‘survival’ politik semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri negara ini.

Itu sebabnya saya bertanya kenapa begitu ganas sekali Dr Mahathir menyalahkan penggantinya itu dalam serba serbi masalah yang dihadapi negara?
(Bersambung)

Tiada ulasan: