"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Adik Anwar Ibrahim’ curi duit rakyat miskin?

Anak Mami
YA, sewaktu awal zaman Reformasi 1998 dahulu saya juga turut tertipu. Nampak muka sama sebiji. Imej janggut sejemput dan berkaca mata. Selepas sahaja Anwar Ibrahim dilengser daripada jawatan nombor dua negara dan hilang daripada pandangan umum; orang ini dibual-bualkan sebagai ‘bayang-bayang’ Anwar.

Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia di saat waktu puncak kerjaya politik Anwar Ibrahim ini malah pernah menjadi Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri di saat Abdullah Ahmad Badawi mewarisi jawatan itu daripada Mahathir Mohamad.
Apabila Pak Lah mewariskan takhta Putrajaya kepada Najib Razak, ‘kembar’ Anwar Ibrahim ini berkesudahan sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita, yang kini sudah tidak lagi jadi menteri akibat skandal belaan lembu.

Bekas seorang wakil rakyat itu juga menerima anugerah Tokoh Jasa Belia Lelaki.

Tokoh itu Jumaat lalu diheret Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disyaki menyalahguna dana kerajaan melalui program 1AZAM.

Utusan Malaysia, lidah rasmi United Malays National Organisation itu; begitu gigih sekali menyorok identiti tokoh terbabit. Namanya tidak disiarkan, gambarnya juga tidak didedahkan. Hatta laporan bahawa beliau ditahan Jumaat lalu pun hanya disiarkan pada Rabu.

Cuba kalau yang disiasat dan didakwa itu bukan orang United Malays National Organisation.

Untuk anda yang tak baca Utusan Malaysia, mari sini saya kongsikan laporan akhbar itu tentang si tertuduh.

Utusan melaporkan bahawa ‘seorang bekas setiausaha politik’ (tanpa menyebut setiausaha siapa atau daripada parti politik mana) ‘dibebaskan’ (meski gambarnya menunjukkan tangan si tertuduh masih digari) selepas ditahan selama lima hari.

Perenggan kedua laporan akhbar UMNO itu kemudian memberitahu bahawa si tertuduh bergelar Datuk sudah ditahan sejak Jumaat (hari ini Rabu) bagi ‘membantu siasatan’ (ini pelik kerana dia dituduh, bukannya dia saksi) berhubung penyelewengan sebuah program kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

Tidak disebut di situ kalimat 1AZAM.

Utusan kemudian menambah bahawa si tertuduh dibebaskan selepas membayar cagaran RM10,000 daripada jumlah jaminan keseluruhan sebanyak RM100,000 yang dikenakan mahkamah terhadapnya.

Paling menarik, Utusan memberitahu bahawa SEPULUH kenderaan milik si tertuduh dan kawan yang bersekongkol dengannya telah disita; antaranya Toyota Alphard, Vellfire, Camry dan Volkswagen Golf GTI. Tidak dilapor pula berapa kenderaan semuanya.

Apa itu program 1AZAM?

Laman web rasmi kementerian memberitahu bahawa ‘1AZAM menyediakan peluang menjana pendapatan kepada rakyat berpendapatan rendah. Jangkaan pendapatan antara RM760 hingga RM2,300 sebulan.’

Gaji anda berapa?

Ia memberitahu lagi bahawa ‘Projek 1AZAM diperkenalkan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan rakyat Malaysia miskin tegar dan miskin menambah pendapatan sehingga melebihi had garis kemiskinan yang ditetapkan iaitu RM760 sebulan bagi miskin dan di bawah RM2,300 sebulan bagi golongan berpendapatan rendah.’

Utusan Malaysia tidak perlu beritahu siapa gerangan setpol menteri yang dituduh menyonglap duit rakyat miskin untuk beli kereta mewah. Menterinya juga dituduh cilok duit pinjaman kerajaan untuk bela lembu tapi akhirnya beli kondominium dan kereta mewah, serta buka restoran untuk menjana ekonomi Bumiputera yang rajin seperti keluarganya.

Rakyat ada internet dan boleh buat carian Google untuk tahu siapa tuan punya wajah yang dikaburkan Utusan Malaysia.

Google sahaja sudah boleh tahu siapa gerangan manusia yang terima anugerah Tokoh Jasa Belia ini. Tak susah.

Yang susah ialah untuk Utusan Malaysia melaporkan kebenaran yang menikam tuannya si United Malays National Organisation. 
-Roketkini.com-

Tiada ulasan: