Zainulfaqar Yaacob
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan mempertimbang sebarang permintaan daripada anggota keluarga Chin Peng supaya mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya itu dibawa pulang ke negara ini untuk urusan pengebumian, lapor Malaysiakini hari ini.
"Kita tidak akan benarkan mendiang dikebumikan di Malaysia sebab sejarah hitam yang dia lakukan," kata Najib yang juga Presiden Umno, dipetik dari Bernama.
Polemik ini mengingatkan saya pada satu wacana dalam Fiqh al-Aqalliyat al-Muslimah (Terjemahan: Hukum Fiqh Bagi Minoriti Muslim).
Dr Yusof al-Qardhawi ada memberikan fatwa mengenai menanam jenazah Muslim di perkuburan Kristian.
Sungguhpun wacana Dr Yusof al-Qardhawi ini mengenai perihal mukallaf, tetapi, masih signifikan memandangkan Islam adalah agama rahmat kepada seluruh alam - warahmata lil 'alamin - meliputi orang Islam dan bukan Islam jua.
Terdapat hukum syarak berkaitan dengan seorang Muslim jika ia meninggal dunia seperti memandikan, mengkafan dan solat ke atasnya. Di antaranya juga ialah menanamnya di perkuburan orang Muslim.
Yang demikian itu adalah kerana bagi orang Muslim, cara tersendiri dalam menanam mayat dan menjadikan tanah sebagai tempat perkuburan dari segi saiz, arah yang menghadap kiblat, jauh dari menyerupai orang Musyrik, orang yang membazir dan seumpamanya.
Telah diketahui umum bahawa setiap penganut agama mempunyai tanah perkuburan mereka yang tersendiri.
Orang Yahudi mempunyai tanah perkuburan mereka. Orang Kristian mempunyai tanah perkuburan. Penyembah berhala juga mempunyai tanah perkuburan.
Maka bukan satu perkara yang pelik untuk orang Muslim mempunyai tanah perkuburan mereka sendiri.
Menjadi kewajiban setiap kelompok umat Islam di negara bukan Islam untuk berusaha melalui kerjasama sesama mereka untuk mengadakan tanah perkuburan khas dan terpisah bagi umat Islam.
Selagi ada jalan, mereka hendaklah berusaha untuk meyakinkan pihak yang bertanggungjawab.
Jika umat Islam tidak mampu untuk mendapatkan tanah perkuburan khas dan tersendiri, paling kurang ialah mendapatkan sebahagian tanah di satu sudut dari tanah perkuburan orang Kristian untuk menanam jenazah mereka.
Jika semua itu tidak boleh diperolehi, lalu meninggal seorang dari mereka, hendaklah mereka berusaha untuk memindahkan jenazah itu, jika boleh, ke bandar lain yang terdapat perkuburan orang Muslim.
Jika tidak boleh juga, maka tanamkan jenazah itu di perkuburan orang Kristian, mengikut apa yang mereka mampu dan sejajar dengan hukum darurat.
Sesungguhnya Allah tidak mentaklif seseorang kecuali sekadar keupayaannya. (La yukalli fuLlahu nafsan illa wus'aha)
Seorang Muslim soleh yang mati, tidak akan termudarat, jika, ditanam di perkuburan bukan Muslim dalam keadaan seperti ini.
Apa yang memanfaatkan seorang Muslim di Akhiratnya ialah usaha dan amal solehnya, bukan tempat perkuburannya. Allah taala berfirman yang bermaksud;
"Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya." (An-Najm : 39)
Akhir sekali, saya ingin katakan kepada saudara yang bertanya bahawa jarak jauh perkuburan si mati bukan alasan bagi membolehkan jenazah di tanah di perkuburan orang bukan Muslim.
Sesungguhnya menanam seorang Muslim di perkuburan orang Muslim adalah satu kewajiban sebagaimana yang jelas dari Ijma' ulama. Manakala menziarah si mati adalah sunat.
Oleh itu, tidak boleh meninggalkan kewajiban kerana sesuatu yang sunat.
Saya juga ingin menerangkan bahawa pada dasarnya menziarah kubur disyariatkan untuk maslahat orang yang berziarah, agar dia mengambil iktibar dan pengajaran, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang bermaksud;
"Aku dahulu melarang kamu menziarah kubur. Ziarahilah ia. Sesungguhnya ia melembutkan hati, menjadikan mata menangis dan mengingatkan akhirat."
Seorang Muslim boleh mendoakan dan memohon keampunan bagi si mati (beragama Islam). Dengan kelebihan dari Allah taala, pahala akan tetap sampai kepada si mati walau di mana sekali pun orang yang berdoa dan memohon keampunan itu berada.
Pendapat Dr Yusof al-Qardhawi ini merupakan salah satu isu yang diperbincang dalam Fiqh Minoriti.
Pendapat Dr Yusof al-Qardhawi ini sekaligus menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang cukup toleransi dengan penganut agama lain.
Toleransi yang diajar dalam Islam demi memelihara imej Islam itu sendiri sebagai agama yang adil.
Justeru, saya ingin bertanya, adakah tindakan Najib sebagai seorang pemimpin Islam dengan melarang wasiat Chin Peng untuk menanam abu manyatnya di tanah air ini akan memberi gambaran yang baik pada Islam sebagai agama yang adil?
Saya rasa, masyarakat bukan Islam, masyarakat Cina, khususnya keluarga Chin Peng sendiri tidak mustahil akan menganggap bahawa Islam agama yang tidak adil, sungguhpun, perbuatan Najib itu lebih mendakati sentimen asabiah dalam Umno sendiri.
Islam agama yang adil. Tunjukkan toleransi yang dituntut dalam Islam supaya bukan Islam lebih berjinak-jinak untuk menghayati keindahan Islam itu sendiri. Sekian.
*Penulis ialah Ahli Seumur Hidup PAS Kawasan Batu Kawan, fotojurnalis, blogger kelahiran Pulau Pinang serta pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya (2003-2006).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan