"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas menteri belia dan sukan kena tangkap berkait dengan kes rasuah

Jakarta: Agensi antirasuah Indonesia semalam menahan bekas menteri belia dan sukan berkait dengan kes rasuah berjumlah berjuta-juta dolar.

Ia dikatakan antara kes yang akan mengancam Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menjelang pilihan raya tahun depan.
Andi Mallarangeng meletak jawatan Disember tahun lalu selepas dinamakan suspek oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) berkait dengan projek pembinaan sebuah pusat sukan.

Suruhanjaya itu menuduh Andi menyalahgunakan kuasanya dalam menguruskan projek itu yang bernilai lebih Rp1 trilion (RM282 juta), menurut agensi berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di luar ibu pejabat KPK selepas disoal siasat selama lebih enam jam, Andi mengesahkan dia ditahan secara rasmi.

“Saya menerimanya supaya kes ini dapat diselesaikan segera.

“ Saya mengharapkan perbicaraan yang adil akan dimulakan secepat mungkin supaya kebenaran akan terserlah dan mereka yang bersalah dan yang tidak bersalah akan terdedah,” kata Andi yang turut mendakwa dia tidak bersalah dalam skandal itu.

Dia menjadi menteri pertama meletak jawatan berkait dengan tuduhan rasuah sejak KPK mula beroperasi pada 2003 dengan mandat untuk memerangi rasuah.

Jurucakap KPK Johan Budi mengesahkan penahanan Andi dengan berkata kes itu masih disiasat dan KPK akan menyoal beberapa saksi serta suspek (Andi).

Kes itu adalah antara beberapa kes rasuah yang melanda Parti Demokrat.

Susilo berikrar untuk membersihkan rasuah di Indonesia ketika berkempen dalam pilihan raya lalu.

Pengerusi parti berkenaan Anas Urbaningrum meletak jawatan Februari lalu selepas dinamakan suspek dalam kes yang sama. Ia menyebabkan perpecahan dalam parti itu dengan sebahagian anggota memilih untuk keluar parti.

Bekas bendahari Parti Demokrat dipenjara pada 2012 selama empat tahun 10 bulan kerana terbabit dalam kes rasuah berasingan. 
-AFP/hmetro

Tiada ulasan: