"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa saya mengkaji PAS? - Liew Chin Tong

LIEW CHIN TONG
SAYA cuba mengimbas pengalaman bagaimana saya mengenali PAS. Pada tahun 1993, saya menghadiri satu "Kem Perpaduan", bersifat "basuh minda (brainwash)" ala-Biro Tatanegara. Kemudian kami sebagai pelajar sekolah menengah persendirian Cina dari Klang, bersama beberapa orang pelajar India secara kebetulan mengisi "kuota perkauman" untuk satu rombongan lawatan sambil belajar ke negeri Kelantan.

Apabila disebut lawatan sambil belajar, maka rombongan makan anginlah rupanya.

Pada zaman itu, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat digambarkan sebagai orang jahat, dengan khabar angin bahawa Cina diharam makan babi di Kelantan, malah Kelantan adalah negeri paling miskin dan kebuluran.

Saya sebagai remaja mendapati realitinya agak berbeza dengan imej yang dipaparkan dalam media, apabila saya memijak di bumi itu sendiri.

Pada tahun 2000, saya bekerja sebagai setiausaha ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok. Giliran saya pula yang mengaturkan rombongan ke Kelantan dan Terengganu, sebagai salah satu usaha DAP untuk "memperbetulkan" imej PAS yang diputarbelitkan oleh BN di kalangan masyarakat Cina.

Buat pertama kali saya bertemu dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Pada masa itulah saya mengenali Hu Pang Chaw, Pengerusi Kelab Penyokong PAS. Hubungan kami terjalin sehingga ke hari ini, dan beliau kini sudah menerajui Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Pada September 2001, saya berada di Australia untuk melanjutkan pengajian saya.

Tiga peristiwa penting berlaku pada bulan sembilan itu. Rumah yang saya sewa itu tidak memiliki televisyen. Ketika serangan berlaku ke atas bangunan World Trade Centre pada 11 haribulan September 2001 saya sekadar "mendengar" bunyi bangunan kedua dilanggar melalui telefon, dalam satu panggilan daripada kawan Hong Kong saya.

Pada 22 haribulan, saya berada dalam majlis pertunangan sahabat saya di Sydney ketika dimaklumkan DAP menarik diri daripada Barisan Alternatif.

Saya mengeluh dalam hati saya, "Barangkali Malaysia perlu menunggu satu generasi lagi untuk menamatkan hayat rejim BN."

Pada 29 haribulan, Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Malaysia adalah negara Islam.

Dunia Barat diselubungi sentimen anti-Islam selepas serangan 11 September. Sentimen ini bersifat rasis jika dilihat dari satu segi, dan kebanyakan masanya antiintelek.

Kebanyakan wacana cenderung untuk melihat dunia Islam sebagai satu entiti tanpa menghalusi perbezaan dan kepelbagaian dalam dunia agama ini sendiri.

Padahal, kita tidak boleh mengetepikan faktor dari segi struktur ketika memahami bagaimana BN boleh melanjutkan pemerintahannya untuk sekian lama.

Sesungguhnya BN memiliki beberapa senjata iaitu akta yang drakonian pada ketika itu, tetapi kita juga perlu sedar bahawa BN tidak akan bertahan selama-lamanya hanya dengan akta zalim.

Sesetengah mungkin menganggap bahawa prestasi BN masih memuaskan dalam ekonomi, kebajikan penduduk kampung dan sebagainya, namun faktor utamanya, pengundi tidak memiliki alternatif yang sebenar.

Malah taktik Mahathir berpolitik agak licik, dan ada kalanya langsung tidak masuk akal.

Pengumuman bahawa Malaysia sebagai Negara Islam telah menegangkan lagi pertentangan politik Islam. Taktik Mahathir untuk bermain dengan istilah bukan sahaja mengasak, tetapi juga memerangkap PAS dalam kebuntuan.

Persoalan-persoalan di atas yang bermain dalam otak saya ketika melanjutkan pengajian di peringkat ijazah Sarjana Muda Kajian Asia dengan Kepujian, di Faculty of Asian Studies, Australia National University (ANU), Canberra.

Saya bersyukur kerana sempat menyempurnakan kajian saya terhadap PAS di bawah bimbingan John Funston, seorang sarjana yang mengkaji PAS dan Umno sejak tahun 1968.

Pengajian saya tertumpu untuk meneliti bagaimana PAS mentafsir konsep negara Islam, melalui dua dokumen yang penting ketika itu, iaitu Memorandum PAS kepada Rakyat Malaysia: Penghayatan Pemerintahan Islam dalam Demokrasi Abad ke-15H/21M dan Dokumen Negara Islam. Kedinamikan perbahasan dalaman memperlihatkan kepelbagaian dalam PAS, lantas menunjukkan bahawa parti yang sedang mengalami perubahan ini, tidak boleh dilihat hanya sebagai satu entiti.

Saya terkagum apabila melihat bagaimana mantan Presiden PAS, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor berusaha untuk meletakkan PAS sebagai parti 'mainstream' (arus perdana) tatkala gelombang Reformasi mengombak.

Beliau sanggup mencairkan ideologi untuk menjadikan PAS sebagai parti pemerintah di kedudukan pertengahan dalam lanskap politik.

Pemergian beliau pada 23 Jun 2002 satu kehilangan yang besar untuk PAS. Dokumen Negara Islam yang lebih kontroversi telah menjadi pengganti kepada Memorandum yang digagaskan Allahyarham. Barangkali Dokumen digubal dengan niat yang baik, namun beberapa perkara kontroversi yang terkandung di dalamnya telah menjadi punca ketakutan pengundi atas pagar dan bukan Muslim, sehingga PAS tewas dalam PRU11 pada tahun 2004.

Muhasabah PAS terhadap kekalahan pada tahun 2004, membangkitkan semula semangat Ustaz Fadzil.

Beberapa orang pemimpin mula mengambil inisiatif untuk mengarus-perdanakan semula PAS. Penglibatan mereka secara aktif dalam perhimpunan protes kenaikan harga minyak, Bersih dan sebagainya, menyerlahkan peranan PAS dalam politik demokrasi di Malaysia.

Hasil usaha ini dituai apabila tsunami politik mengombak pada 8 Mac 2008. Hasrat dan suara rakyat telah menjalinkan semula hubungan antara PAS, DAP dan KeADILan dalam Pakatan Rakyat.

Impian Allahyarham Ustaz Fadzil akhirnya tercapai. PAS kini bukan sahaja berkubukan Pantai Timur Semenanjung, tetapi juga meluaskan pengaruh politiknya ke tengah, bahkan selatan Semenanjung di Johor. Saya mendoakan agar kita tidak menunggu satu lagi generasi untuk menamatkan hayat rejim BN.

--------------

* Liew Chin Tong ialah ahli Parlimen Kluang, merangkap Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP. Beliau boleh dihubungi di e-mel supportlct@liewchintong.co

2 ulasan:

Unknown berkata...

mohon masukkan blog PAS cawangan rasa ke bloglist tuan. Terima kasih.
http://ynasidek.blogspot.com/

Unknown berkata...

mohon masukkan blog PAS cawangan rasa ke bloglist tuan. Terima kasih.
http://ynasidek.blogspot.com/