"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar kritik Khalid: Kedudukan Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor dalam bahaya?

Kritikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di pentas terbuka semasa forum berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2012 di Petaling Jaya malam tadi memberikan isyarat tidak baik kepada bekas pemimpin korporat itu.
Menurut Anwar, Abdul Khalid tidak seharusnya berbangga dengan lebihan kewangan yang diperolehi kerajaan negeri Selangor akan tetapi gagal membelanjakannya dengan baik.
Sebaliknya, Anwar memuji Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan menjadikan Setiausaha Agung DAP itu sebagai contoh pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang berjaya menguruskan kerajaan negeri dengan baik dan seimbang.
"Saya puji Lim Guan Eng yang membawa Pulau Pinang pada tahap pretasi terbaik. Bagaimanapun tidak kepada Khalid kerana sudah masanya Selangor tidak lagi berbangga dengan lebihan yang diperolehi.

"Kita tidak ada masalah dengan pengurusan beliau, hasil pendapatan negeri juga membanggakan namun terdapat beberapa isu seperti pelajar tidak dapat menyambung pelajaran ke pengajian tinggi selain segelintir rakyat miskin yang tidak mampu memiliki rumah dan perkara itu masih sukar ditangani sehingga kini,” kata Anwar di hadapan hadirin dalam program yang turut menampilkan Dr Ong Kian Ming daripada DAP dan bekas Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.

Perlantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua sememangnya tidak disenangi oleh PKR Selangor yang dipimpin oleh Mohamed Azmin Ali.

Pada ketika itu, PKR juga tidak boleh melakukan apa-apa oleh kerana PAS dan DAP yang masing-masing mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahukan Abdul Khalid kekal dan tidak bersedia menerima Azmin.

Azmin yang merupakan Timbalan Presiden parti itu turut merungut apabila pimpinan pusat PKR tidak melakukan perbincangan dengan parti diperingkat negeri dalam urusan pelantikan menteri besar Selangor bagi penggal kedua.

Azmin juga tidak dapat melakukan apa-apa kerana PKR mempunyai kerusi DUN paling sedikit di Selangor dengan hanya 14.

Hasilnya, hubungan keruh diantara kerajaan negeri Selangor pimpinan Abdul Khalid dengan PKR negeri pimpinan Azmin semakin membarah.

Ini menyebabkan Anwar menghantar Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail untuk menyelesaikan beberapa perkara yang tidak beliau senangi berhubung pentadbiran Abdul Khalid.

Saifuddin dilantik menjadi Ketua Staf di Pejabat Menteri Besar Selangor pada Julai lalu, sesuatu jawatan yang tidak pernah wujud sebelum ini di negeri terkaya Malaysia itu dan mirip kepada sistem Amerika Syarikat.

Pada masa sama, Khalid melantik Saifuddin sebagai pegawai yang mengendalikan projek Pembangunan Desa untuk mengendalikan lima kawasan Parlimen di utara Selangor yang masih dimenangi Umno dalam pilihanraya umum lalu.

PR hanya tewas di lima Parlimen di Selangor yang terletak di utara negeri maju itu seperti Tanjung Karang, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sungai Besar.

Bagaimanapun, Saifuddin dikatakan tidak mampu melakukan tugasnya oleh kerana Abdul Khalid campur tangan dalam projek yang diuruskannya.

Jika dahulu pertembungan diantara Abdul Khalid dan Azmin hanya berlaku secara satu lawan satu, tindakan yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor itu terhadap Saifuddin dijangka akan menambah lagi jumlah musuhnya dalam politik terutamanya dalam PKR.

Saifuddin yang merupakan “jeneral” yang paling dipercayai oleh Anwar mempunyai pengaruhnya tersendiri dan mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan organisasi.

Malahan Saifuddin juga diantara perancang utama gerakan reformasi yang dilancarkan Anwar selepas dipecat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad daripada kerajaan.

Sebelum sempat mana-mana pemimpin PKR mengeluarkan respons kepada kritikan Anwar terhadap Abdul Khalid, Datuk Zaid Ibrahim yang juga bekas ahli PKR membela Menteri Besar Selangor itu.

Zaid adalah sekutu kepada Abdul Khalid dan melawan Azmin bagi jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan tahun 2010 lalu.

“Anwar tidak seharusnya mengkritik Khalid secara terbuka. Apakah ini satu rancangan untuk menggantikannya? Khalid mendapat sokongan daripada pengundi dan hanya mereka boleh menggantikannya,” kata bekas menteri Kabinet itu melalui akaun Twitter @zaidibrahim.

Zaid seolah-olah sudah terhidu dengan sesuatu bakal berlaku di negeri Selangor yang sudah dipimpin oleh PR untuk penggal kedua itu.

Tiada ulasan: