"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jual anak untuk beli iPhone

SHANGHAI: Satu pasangan muda di China berdepan hukuman jenayah kerana menjual seorang bayi perempuan mereka dan menggunakan wang tersebut untuk membeli sebuah telefon pintar iPhone, lapor media tempatan semalam.

Akhbar Liberation Daily melaporkan, pendakwa raya di sini mengemukakan dakwaan ke atas pasangan tersebut kerana melakukan pemerdagangan manusia.

Pasangan itu menjual anak ketiga mereka menerusi internet untuk dijadikan anak angkat.

Pihak berkuasa mendapati, ibu bayi berkenaan yang tidak didedahkan namanya menggunakan wang tersebut untuk membeli sebuah iPhone, sepasang kasut sukan berjenama mahal dan beberapa barangan lain.

Pasangan muda itu memberitahu polis bahawa mereka berbuat demikian kerana mahu bayi tersebut membesar dalam persekitaran yang lebih baik.

Mereka tidak mampu untuk memelihara zuriat tersebut kerana sudah mempunyai dua orang lagi anak.

"Kami memberikan anak kami bukan kerana untuk mendapatkan keuntungan tetapi untuk memastikan dia mendapat jaminan hidup yang lebih baik," kata seorang daripada pasangan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, kes tersebut menjadi topik perbualan hangat di internet dengan ramai yang mengecam pasangan tersebut.

"Sungguh tidak berperikemanusiaan! Orang seperti ini tidak berhak menjadi ibu-bapa," kata seorang pengguna di sebuah laman blog mikro.

"Ia merupakan satu perniagaan yang bagus, tidak perlukan modal, untungnya besar dan tidak perlu menjual ginjal," kata seorang lagi pengguna internet.

Media tempatan tidak mendedahkan bayaran yang diterima oleh pasangan berkenaan tetapi mereka meminta wang sebanyak 50,000 yuan (RM25,818) dalam iklan yang disiarkan di internet.

Produk Apple amat popular di China.

Pada tahun lalu seorang remaja menjual satu ginjalnya dan menggunakan wang berkenaan untuk membeli sebuah iPhone dan iPad. - AFP

1 ulasan:

Unknown berkata...

Maaf atas permintaan pembaca dsini mghrpkan agar penulis tidak mggunakan warna tulisan srta background yg gelap hingga kn sukar utk dbaca oleh peminat d blog penulis...harap ambik perhatian.