"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa fitnah TMI terhadap Almarhum Ustaz Harun tidak boleh dimaafkan?

ZAHARUDIN MUHAMMAD
Setelah saya membaca tulisan Sheridan Mahavera di dalam The Malaysian Insider, saya dapati tulisannya berbaur fitnah dan adu domba serta cuba menggambarkan kepuakapn konservatif di dalam PAS.

The Malaysian Insider cuba menggambarkan seolah-olah pendirian berbeza antara TG Presiden dan TG Dato Harun Taib khususnya tentang isu kalimah Allah apabila menyebut: "ini adalah pendirian yang berbeza dengan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan Allah boleh digunakan oleh bukan Islam".

Perkataan seperti ini seolah-olah menggambarkan 2 Tuan Guru adalah tidak sekata dalam Isu kalimah Allah swt. Walhal bukan sahaja 2 Tuan Guru ini yang seiya sekata, bahkan semua tuan-tuan guru di dalam PAS, khususnya di dalam mesyuarat syura pada 13 Januari 2013, juga mesyuarat sebelum dan selepas itu, bahawa kalimah yang mulia (ALLAH swt) boleh digunakan pada tempat yang betul oleh muslim dan non-muslim kecuali apabila ia digunakan pada tempat yang salah seperti menggambarkan Allah swt ada anak, isteri dan seumpamanya.

Dalam mesyuarat tersebut, masa yang diambil untuk menyatakan pendirian sebulat suara tak sampai 5 minit kerana tiada perbezaan pendapat tentang realiti ini. Masa yang lama yang telah diambil ialah untuk membuat kenyataan akhbar selepas mesyuarat tersebut bagi mengelakkan manipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab seperti segelintir kecil wartawan yang mencari makan tanpa mengira dosa dan pahala (jika muslim) dan juga wartawan yang tidak bermoral (sanggup memanipulasi berita sekalipun tahu ia palsu demi kerana upah). Sekali saya ulangi, segelintir kecil wartawan, bukan semua wartawan.

Sejak awal timbul isu kalimah Allah, semua tuan-tuan guru di dalam PAS bersepakat tentang perkara ini. Pernah saya sewaktu menjadi pegawai penyelidik di Majlis Syura Ulama, menyusun pendapat ketiga-tiga tuan guru (TG Mursyidul Am, TG Presiden dan TG Timbalan Mursyidul Am) untuk dikertaskan. Kesimpulannya ketiga-tiganya mempunyai satu pendapat, iaitu ada tempat yang mereka persetujui (tempat yang betul seperti Allah pencipta alam) dan ada tempat yang mereka tidak bersetuju (seperti Allah swt ada anak dan sebagainya). Dengan kata lain, ke tiga-tiga Tuan Guru bersepakat bahawa kalimah Allah yang mulia ada tempat boleh dipersetujui penggunaannya oleh non muslim dan ada tempat yang mereka tidak bersetuju.
Apa yang malang, saya dapati selepas itu ada pihak pemberita yang tidak bertangungjawab justeru hanya mengambil bahagian yang dipersetujui daripada ungkapan TG Presiden dan tidak menyiarkan bahagian yang tidak dipersetujui. Seterusnya nukilan sipi (nukilan sebahagian) ini dijadikan modal untuk melaga-lagakannya dengan Tuan Guru yang lain, khususnya apabila dua tuan Guru lain cuba digambarkan tidak bersetuju.

TGHH DAN TGHT ADALAH DUA SAHABAT RAPAT

Gambaran kontradiksi antara TG Presiden dan TG Harun Taib adalah gambaran yang tidak berasas, walhal, TG Presiden dan Al-Marhum TG Harun Taib adalah dua sahabat karib sedari waktu belajar lagi. Mereka adalah dua sahabat yang "tidur sebantal" serta housemate yang lama sewaktu belajar di Timur Tengah.

Pernah TG Presiden menyebut kepada seorang sahabat saya bahawa TG Harun Taib adalah sayap kiri dan kanannya di dalam perjuangan ini. Pernyataan TG Presiden ini diceritakan oleh sahabat saya tadi kepada TG Harun Taib sehingga menyebabkan beliau akhirnya sebak dan menitiskan airmata. Itulah dua sahabat akrab.

Sewaktu TG Presiden mengetahui keadaan TG Harun Taib yang kritikal, beliau tidak lena tidur malam, sekejap bangun solat, sekejap tertidur dan terjaga semula justeru bimbangkan keadaan kawan akrabnya yang terlantar di hospital.

Saya yakin, semua keakraban ini dapat dirasai oleh hadirin sewaktu solat jenazah semalam. Semua dapat melihat beliau cuba menahan sebak dengan menggagahkan diri membuat pengumuman. Tetapi akhirnya tidak dapat menghabiskan pengumumannya dan seterusnya pengumuman itu dihabiskan oleh anak Al-Marhum, YB Ustaz Helmi Harun. Sewaktu solat lagi, mereka yang bersolat di sebelah TG Presiden dapat merasai sebak beliau sewaktu solat lagi. Saya sendiri tidak pernah melihat TG Presiden sesedih ini apabila menghadiri penghormatan terakhir sahabat-sahabat perjuangannya.
Sebab itu saya dapati tulisan The Malaysian Insider lebih bersikap provokatif sehingga sanggup menghiasi tulisan-tulisan dengan bunga-bunga adu domba antara dua pemimpin agung.

Tiada konservatif mahupun progresif di dalam PAS kerana PAS berpaksikan kepada perjuangan Islam. Pengkategorian ini hanya boleh berlaku dari pandangan yang melihat dengan kacamata barat yang sinonim dengan pengkategorian ini. Islam adalah Islam dan maha suci Islam daripada berlaku perubahan kecuali dari dari sudut silap faham mereka yang jahil. Tiada Islam konservatif dan tiada Islam progresif.

Sebab itu saya sendiri mengutuk cara TMI mencari berita berdasarkan pengalaman saya sebelum ini dengan TMI. Saya dapati wartawannya suka membuat provokasi seterusnya meminta semua pihak memberikan komen dan pandangan. Cara yang menjijikkan bagi mereka yang ada iman (muslim) dan mereka yang ada etika dan akhlak.

Kalau inilah cara TMI mencari pembaca dan pelanggan, bagi saya TMI sememangnya berhak mendapat kutukan makhluk yang baik di bumi ini.

Bagi wartawan muslim di TMI, ingatlah firman Allah swt:
"Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)". - An-Nur: 19.

Sekali saya mengutuk tulisan TMI yang mengandungi fitnah terhadap Al-Marhum TG Harun Taib. Sesuatu yang sangat tidak bermoral memfitnah seseorang yang baru sahaja meninggal dunia. Fitnah yang tidak boleh dimaafkan begitu sahaja kecuali si yang bertanggungjawa benar-benar memohon maaf daripada orang PAS dan keluarga Al-Marhum.

* Tulisan ini adalah dirujuk kepada link ini:
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pemergian-harun-petanda-berakhirnya-politik-konservatif-pas.

Penulis ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia.

1 ulasan:

musafir berkata...

Suhaizan Kayat kata apa?