"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selangor diancam bahaya sabotaj dalaman

PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) dinasihati supaya tidak meletakkan calonnya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Kajang

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, PSM sepatutnya memberi laluan kepada PKR bersemuka dengan BN sekaligus dapat menumpukan usaha memenangkan Pakatan Rakyat.

“Seruan kepada PSM biarlah ini merupakan satu referendum antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN).

“Inilah masanya rakyat nak luahkan kemarahan mereka kepada BN khususnya kerajaan Pusat mengenai persoalan kos hidup dan harga barang,” katanya dalam sidang media di Pejabat Parlimen Shah Alam di sini hari ini.

PSM sebelum ini dalam laporan media tidak menolak kemungkinan akan bertanding di Kajang atas dorongan orang ramai yang mahu parti itu ‘memberi pengajaran kepada PKR’.

Sementara itu, Khalid turut mempertahankan tindakan bekas Adun Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan atas alasan mahu menyelamatkan Selangor daripada ancaman sabotaj dalaman.

Khalid berkata, pihaknya dimaklumkan PKR bahawa parti itu merasakan Selangor berada dalam ancaman kerana dua faktor utama.

Ancaman utama ialah wujudnya cubaan Umno-Barisan Nasional (BN) merampas kembali Selangor dalam apa jua cara sekalipun termasuk usaha sabotaj daripada pihak tertentu yang mahu menggagalkan prestasi kerajaan Pakatan Rakyat.

Antaranya beberapa projek kerajaan negeri yang tak bergerak walaupun bajet sudah diluluskan.

“Ada juga tanah yang sepatutnya diberi kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan sudah diluluskan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) tapi tak ditukar-tukar namanya lebih setahun.

“Ini semua kerja-kerja sabotaj yang sedang berlaku atas sebab tertentu untuk menghalang keberkesanan dan akhirnya rakyat jadi marah…ini persoalan yang perlu ditangani,” katanya dalam sidang media di Pejabat Parlimen Shah Alam di sini hari ini.

Dakwanya, isu rampasan Bible juga merupakan salah satu isu sabotaj yang sengaja direka untuk mencalarkan imej pentadbiran negeri.

Selain itu, krisis dalaman PKR itu sendiri antara Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Pengerusi PKR Azmin Ali yang memerlukan penyelesaian cepat dan segera.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, soal perebutan Menteri Besar tak timbul kerana jawatan itu tidak boleh ditentukan oleh mana-mana parti.

Katanya, PKR, DAP, atau PAS tidak ada yang memperoleh 29 kerusi majoriti.

“Kalau nak ada perubahan Menteri Besar ia mesti mendapat sokongan 29 ADUN dan bagi PR ianya mesti dapat persetujuan Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

“Jadi tidak ada apa cara PKR boleh tentukan Menteri Besar seorang diri,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada semua ahli PAS membantu memenangkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kekalkan kemenangan kerusi DUN Kajang dan akan bersama jentera PAS Shah Alam turun padang untuk membantu.

“Walaupun ada yang tak setuju tapi kita lebih tak setuju kalau kerusi Kajang jatuh ke tangan BN,” katanya yang menganggap kemarahan akar umbi PAS itu berpunca daripada khabar angin.

Beliau yakin ahli PAS perlahan-lahan akan terima Anwar sebagai calon DUN Kajang jika arahan diberikan pemimpin Pusat.

“Itu (kemarahan) luahan tertentu kerana kita tahu PAS akhirnya akan akur arahan pimpinan,” katanya.
-freemalaysiatoday-

Tiada ulasan: