PETALING JAYA: Bekas calon Ketua Pemuda Umno 2013, Syed Rosli Syed Harman al Jamalulail mencabar Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar bertanding mewakili BN menentang calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, ahli-ahli Umno Selangor marah kerana Anwar bukan rakyat Selangor bertanding di Kajang.
“Oleh itu Noh Omar selaku pemimpin Umno nombor 1 di Selangor selaku anak jati Selangor mesti tunjukkan kejantanannya menentang Anwar,” kata beliau kepada FMT.
Katanya, soal kerusi Kajang milik MCA tidak timbul kerana di Gelang Patah, Johor pada PRU ke 13, MCA beri laluan kepada Umno bertanding mewakili BN melalui calonnya, Tan Sri Ghani Othman menentang calon DAP, Lim Kit Siang,
Beliau mencadangkan MCA beri laluan kepada Umno bertanding kerana majoriti pengundi Kajang adalah orang Melayu 48 peratus diikuti orang Cona 41 peratus dan orang India 10 peratus.
“Jika Umno diberi peluang bertanding, Noh Omar wajar dipilih sebagai calon kerana bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu setaraf dengan Anwar Ibrahim,” katanya.
Katanya lagi, jika Noh menang beliau akan menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor.
“Semangat ahli-ahli Umno Selangor akan bertambah kuat jika Noh Omar menang dan justru itu ia memudahkan BN untuk merampas kembali Selangor dari tangan Pakatan Rakyat, pada PRU ke 14,” katanya lagi.
Sementara itu Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dalam smsnya menulis Perkasa tidak terlibat dalam PRK Kajang.
Ditanya adakah Perkasa akan menyokong calon MCA atau adakah Perkasa akan meletakkan calon Bebas di Kajang, beliau menulis, ” Perkasa tidak terlibat dalam PRK Kajang.Terima kasih”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan