"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Syed Rosli Bekas calon Ketua Pemuda Umno 2013 balun Noh Omar


PETALING JAYA: Bekas calon Ketua Pemuda Umno 2013, Syed Rosli Syed Harman al Jamalulail bertanya adakah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar buta sejarah?

Katanya, BN sendiri pernah melakukan perkara yang sama seperti dibuat oleh PKR semalam yang mengadakan pilihanraya kecil tanpa disebabkan oleh kematian wakil rakyatnya.

“Pada pandangan saya kenyataan beliau di Sinar Harian adalah lebih kepada naif dan berpura-pura bodoh. Jangan jadi melayu mudah lupa seperti yang selalu Mantan Perdana Menteri kita nyatakan iaitu Tun Dr Mahathir Mohammad.

“Mengadakan pilihan raya kecil untuk menggantikan khidmat menteri besar telah dilakukan sebelum ini di Selangor. Ia telah ditetapkan pada tahun 1997 apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk (kini Tan Sri) Abu Hassan Omar menggantikan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

“Dr Mahathir Mohamad memilih beliau selepas Muhammad terpaksa meletak jawatan berikutan dua pertuduhan di mahkamah Australia berikutan kegagalannya mengisytiharkan tunai RM2.4 juta ketika meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane pada Disember 1996.
“Abu Hassan, yang menjadi timbalan ketua perhubungan Umno Selangor, meletak jawatannya dari Kabinet dan sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor untuk bertanding kerusi DUN Permatang, melalui pertukaran secara langsung dengan kerusi yang disandang Datuk Jamaluddin Adnan.

“Permatang adalah dalam kawasan Parlimen Kuala Selangor.Barisan Nasional mengekalkan kedua-dua kerusi, Permatang dan kerusi Parlimen Kuala Selangor pada pilihan raya kecil yang diadakan pada 29 Mei 2007. Abu Hassan kemudiannya mengangkat sumpah pada 6 Jun 1997,” jelas Syed Rosli.

Tambahnya lagi, jika BN bimbang akan berlaku pembaziran, BN boleh memilih untuk tidak meletakkan calon dan memberikan kemenangan percuma kepada Anwar.

Tindakan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan turut dipertahankan Syed Rosli yang juga Penolong Setiausaha Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Pandan.

Beliau menyifatkan tindakan Lee itu sebagai pengorbanan peribadi bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diwar-warkan bakal mengambil alih tugas menteri besar dari Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau yang lantang bersuara mengkritik kerajaan berkata Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya cepat melatah dengan situasi ini.

“Saya membaca kenyataan Noh Omar mengenai perletakan jawatan Adun Kajang iaitu Lee Chin Cheh yang beliau sifatkan seperti mengkhianati amanah pengundi di situ. Beliau juga menegaskan bahawa masa pilihan raya umum (PRU) yang lepas,banyak janji Pakatan Rakyat (PR) di Selangor masih belum ditunaikan.

“Saya rasa bukan setakat PR tetapi BN juga gagal menunaikan janji dalam manifesto seperti janji untuk menurunkan harga kereta dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sepatutnya akan diberi RM1,200 tetapi sebaliknya hanya akan memberi RM650 sahaja, ini adalah contoh janji yang ‘dicapatikan’ oleh BN,” katanya menerusi satu kenyataan.

Syed Rosli turut menyoal adakah Noh sendiri menembual pengundi di Kajang sebelum menyatakan bahawa pilihan raya kecil (PRK) di Kajang nanti hanya akan membuang masa mereka.

“Ada tidak Noh Omar bertanya pada pengundi-pengundi Dun Kajang semua ini hanya membuang masa? Jikalau tidak jangan mudah melatah kerana memalukan kami pemimpin akar umbi Umno di Selangor.

“Kita tunggu sahaja pada masa keputusan PRK nanti dan lihat sendiri berapa peratusan pengundi yang keluar mengundi,jikalau ianya dibawah 30 peratus maka ianya benar pengundi tidak sokong PRK tersebut.

“Noh Omar harus faham bahawa semua parti tetap tidak lari dari masalah dalam masing-masing. Sedangkan Umno sendiri pun ada masalah dalaman sendiri jadi Noh Omar perlu faham apa tindakan pimpinan PR lakukan ini mungkin untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka demi untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Selangor khususnya pengundi-pengundi,” tambahnya lagi.

Mengenai PRK Kajang, beliau berkata jikalau Barisan Nasional masuk bertanding ianya sebenarnya akan merancakkan ekonomi setempat dan memberi peluang yang banyak untuk usahawan tempatan dan para peniaga untuk mencari lebih sedikit pendapatan mereka.

“Sebagai contoh para pengusaha Home Stay akan mendapat tempahan yang banyak dan juga pemandu teksi akan mendapat penumpang yang bertambah sempena PRK nanti, ini adalah sebagai contoh apa PRK boleh diterjemahkan juga sebagai menjana ekonomi setempat,” katanya.

Beliau turut menggesa pimpinan parti supaya tidak mengeluarkan kenyataan kurang cerdik pada masa akan datang.

“Rakyat Selangor bijak belaka dan mereka tahu menilai mana permata dan mana kaca. Berpolitiklah cara sihat dan profesional jangan malukan kami pemimpin diakar umbi ini dengan kenyataan bodoh dari pimpinan BN, khusunya Umno,” ujarnya.

Tiada ulasan: