Sejak tersebarnya kes penahanan suami isteri warga Malaysia di Sweden oleh pihak berkuasa tempatan kerana memukul anak mereka yang tidak solat, ramai rakyat Malaysia keliru dengan tindakan itu.
Menghukum anak kerana tidak bersolat dibenarkan dalam Islam tetapi hukuman itu boleh dilakukan tanpa menyebabkan kecederaan serius pada anggota fizikal anak.
Namun, hukum berkenaan menyalahi undang-undang di beberapa negara Barat dan Eropah.
Memandangkan pasangan itu berada di Sweden, maka pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan berlandaskan undang-undang yang dipraktikkan di negara itu sejak 1979, di mana hukuman atau denda terhadap kanak-kanak adalah kesalahan jenayah.
Di Sweden, negara itu mengamalkan no spanking law iaitu undang-undang melarang ibu bapa menghukum anak dengan cara memukul. Meskipun tidak meninggalkan kesan namun ia menyalahi undang-undang Sweden, malah, menengking pun tidak dibenarkan.
Justeru, undang-undang itu diperkenalkan bagi membendung kes penderaan.
Bagaimanapun, sesetengah pakar di Sweden berpendapat, semenjak undang-undang itu dilaksanakan, kanak-kanak Sweden menjadi degil dan biadab.
Menurut laporan South China Morning Post, seorang ahli psikiatri iaitu David Eberhard berkata, undang-undang tersebut menyebabkan kanak-kanak Sweden mula menuntut hak sama rata dengan orang dewasa.
"Ia menyebabkan kanak-kanak menjadi penentu keputusan keluarga seperti bila hendak makan, tidur, menonton televisyen dan sebagainya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan