"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perkara tersirat di PRK Kajang

Timmy Say
Kebiasaannya sejurus selesai pilihan raya kecil (PRK), pakar pemutar parti akan cuba berhujah mengenai kemenangan dan kekalahan mereka demi keuntungan politik.

Di PRK Kajang, tiada bezanya, meskipun diselubungi insiden kehilangan MH370.Sebenarnya, sekain misteri kehilangan MH370, tiada apa yang berlaku di luar jangkaan di PRK Kajang.

Kekalahan BN sudah pun dijangka dari awal sejak perletakan jawatan Lee Chin Cheh Januari lepas.
Kemenangan PKR sudah diramal apabila Anwar Ibrahim diumum sebagai calon. Perkara itu tidak berubah apabila isteri beliau Dr Wan Azizah Wan Ismail terpaksa menggantikannya kerana beliau dihukum 5 tahun penjara.

Mari kita lihat apa yang tersirat di sebalik PRK Kajang:

Lebih ramai pengundi Pakatan Rakyat tidak balik mengundi

PKR: 16,741
BN/MCA: 11,362
Majoriti: 5379 (2013: 6824, kurang 1445)
Peratus mengundi: 72.1% (2013: 88.1%, kurang 16%)
Peratus undi PKR: 59.43% (2013: 57.99%, tambah 1.44%) (2013: 19,571, kurang 2,830 undi)
Peratus undi BN: 40.43% (2013: 37.77%, tambah 2.66%) (2013: 12747, kurang 1,385 undi).

Perkara ini mudah difahami, kerana PRK yang disengajakan ini hilang makna yang penting selepas Anwar tidak dapat bertanding. Kerana itu, untuk melabur dalam perjalanan pulang ke kampung untuk mengundi, dan pulang ke tempat bekerja sejurus itu untuk PRK ini, sudah tentu tidak berbaloi.

Pakatan Rakyat juga perlu mengambil berat sudut impak penyokong yang protes terhadap Langkah Kajang dan dengan sengaja tidak keluar mengundi.

MCA secara diam guna isu tempatan melawan isu nasional yang dibawa PKR

PKR mengambil langkah memainkan isu nasional ketika berkempen di Kajang. Dengan "Langkah Kajang" yang terkubur kerana hukuman yang dijatuhkan kepada Anwar, PRK ini digunakan sebaliknya untuk mencari ‘keadilan’ bagi Anwar melalui isterinya Wan Azizah.

Langkah ini adalah langkah yang bijak bagi PKR, kerana golongan muda lebih mengikuti isu nasional yang berlegar di internet daripada isu tempatan yang berkeliaran di warung kopi di Kajang.

Namun, kehilangan MH370 mencairkan sentimen terhadap isu penjara Anwar.

MCA pula sedar mereka tidak boleh bertarung pada isu nasional. Isu nasional yang berlaku adalah di luar kawalan mereka.

Oleh itu, MCA menjual isu-isu tempatan dan bermain dengan sentimen orang Cina terhadap Kajang sebagai satu-satu kawasan DUN yang dipegang oleh orang Cina di bawah parlimen Hulu Langat.

MCA menggunakan pendekatan isu tempatan pada mereka yang berumur 45 tahun ke atas yang tinggal di kawasan Kajang.

Golongan ini amat mementingkan kawasan mereka dijaga dengan baik oleh Adun mereka. Oleh itu, MCA menggunakan pendekatan menjual kehebatan servis calonnya Chew Mei Fun. Dan ini berjaya menarik perhatian dan sokongan generasi Cina yang lebih tua.

MCA tidak membazirkan masa pada golongan muda yang asalnya orang Kajang tapi sudah berpindah ke luar Kajang kerana golongan ini tidak memerlukan servis seorang Adun yang baik.

MCA menimbulkan persoalan yang membakar sentimen orang Cina iaitu samada DUN ini akan kembali ke tangan orang Cina pada pilihanraya-pilihanraya akan datang sekiranya Wan Azizah memenangi DUN Kajang kali ini.

Kesilapan PKR dan MCA

PKR mendedahkan kelemahan Adun dan kerajaan Selangor sendiri apabila berjanji untuk menyelesaikan beberapa masalah tempatan di manifestonya, seperti kesesakan di Kajang.

Sehingga kini, ramai mempersoalkan mengapa manifesto yang dicipta untuk Wan Azizah tidak sama dengan apa yang disebut dalam Langkah Kajang, iaitu untuk menghalang kejatuhan kerajaan Selangor dan provokasi perkauman dan agama yang lebih teruk daripada Umno-BN?

Sekiranya Anwar yang bertanding, apakah Anwar akan juga menggunakan manifesto yang sama? Apakah pemimpin bertaraf dunia ini akan membuat janji seperti saya akan menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di Kajang? Hanya PKR sahaja tahu.

MCA pula melakukan kesilapan dengan menyerang Anwar secara bertubi-tubi di ceramah mereka. Mereka mendedahkan dosa Anwar ketika beliau dalam Umno dan sebagai Menteri Pendidikan terhadap pendidikan vernakular Cina dan sebagainya.

Anwar baru sahaja dihukum penjara 5 tahun. Simpati rakyat berpihak bersamanya, akan tetapi, MCA tidak peduli dan terus menyerang Anwar, dan ini sedikit sebanyak memakan diri.

Tidakkah MCA sedar bahawa serangan pada Anwar sudah masuk ke kategori 'overkill' – di mana semakin beliau diserang, semakin beliau akan mendapat sambutan? Di sinilah MCA membazirkan masanya tatkala jamuan makan malamnya semakin mendapat sambutan menjelang hari pengundian seperti jamuan berpuluh meja yang dipenuhi dengan meriah di sebelah bilik gerakan PKR di Taman Damai pada hari terakhir kempen.

Catuan air yang dikecualikan

Tatkala rata-rata rakyat Selangor sedang merana dalam catuan air, penduduk Kajang tidak merasai keperitan ini. Air di paip kelihatan sentiasa ada sejak perletakan jawatan Lee Chin Cheh meskipun kawasan lain di Selangor mengalami masalah kekurangan air. Tiada insiden ketiadaan air yang kritikal seperti yang berlaku di Balakong mahupun Cheras, yang tidak jauh daripada DUN Kajang.

Tidak diketahui samada ini sebahagian daripada pencaturan atau para penduduk Kajang sememangnya bernasib baik kerana tidak terletak di dalam zon catuan air negeri Selangor. Kerana nasib baik inilah, catuan air tidak memainkan apa-apa faktor terhadap undi yang diterima BN mahupun PKR.

Sekiranya selepas ini penduduk Kajang mengalami masalah catuan air, penulis hanya boleh ucapkan "Selamat datang ke realiti dunia politik Malaysia".

Kerjasama Pakatan Rakyat

Pencalonan Wan Azizah dan nasib malang yang menimpa Anwar menyebabkan kerjasama Pakatan Rakyat kembali erat. Kesan negatif Langkah Kajang yang meregangkan hubungan Pakatan Rakyat telahpun dipulihkan.

Kini fokus bertukar pada pemilihan PKR. Meletakkan Zuraida sebagai timbalan Khalid Ibrahim dalam kempen PRK Kajang adalah langkah yang sangat kontroversi bagi mereka yang mengikut politik PKR secara dekat.

Dan keputusannya, prestasi PRK Kajang tidaklah memberangsangkan bagi PKR. Dan siapa yang bakal akan menanggung harganya?

Tunggu bulan Mei.

Tiada ulasan: