Hazlan Zakaria
KOMEN:
Penyandang timbalan presiden PKR Azmin Ali kini mengubah penampilannya, dari seorang yang setia dengan ketua umum Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada seorang idealis yang tegas memperjuangkan ideanya sendiri. Beliau mahu fokus parti merangkumi nilai sejagat.
Atau mungkin ia langkah yang bukan hanya dapat menyemarakan perbincangan politik, tetapi juga bakal menjamin laluannya ke mercu kepimpinan parti.
Pada dasarnya, Azmin mahu dilihat pemimpin hebat yang mampu mengemudi parti daripada hanya berpaksikan Anwar Ibrahim. Ia bakal menampilkan pendirian yang lebih nasionalis.
Beliau lantas menyandarkan perjuangannya pada falsafah ahli politik unggul seperti Burhanuddin Al Helmy, Rabindranath Tagore, Ibrahim Yaacob, Gandhi, Okakura Tenshin serta Soekarno. Kempennnya bagu jawatan timbalan presiden menggunakan slogan “Keadilan Raya”.
Mungkin Azmin mahu membina ideologi bagi parti yang sehingga kini hanya mengharapkan kehebatan personaliti Anwar sahaja.
Bagaimanapun, pemerhati melihat bahawa ia langkah terdesak bagi Azmin membolot segala habuan berkat kesetiaannya kepada parti selama ini. Sudah tiba masa baginya menimba hasil usahanya.
Suatu ketika dahulu, Azmin dijanjikan jawatan Menteri Besar Selangor tetapi Tan Sri Khalid Ibrahim pula yang menduduki kerusi itu. Azmin tidak dapat bertanding jawatan presiden PKR angkara permainan politik Anwar –Wan Azizah dan tidak juga diberi peranan di dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri.
Beliau disokong golongan muda yang telah dibantunya di dalam parti. Mereka sudah tentu sependapat dengannya.
Kebanyakan mereka telah menyemarakkan diskusi politik melalu pelbagai program dan forum. Ada yang direkrut Azmin sendiri, dan ada pula yang ditaja hasil wang ringgitnya sendiri.
Bagaimanapun, terdapat juga kisah bagaimana mereka ini cuba menjatuhkan musuh-musuh di dalam parti menggunakan taktik yang kurang digemari: melalui serangan terbuka.
Pemimpin hebat sudah tentu bukan hanya bersandarkan ilmu pengetahuan tetapi juga menggunakan helah ala Machiavelli.
Keadilan Raya cetusan Azmin mungkin juga hanya sekadar pembaharuan bagi menyuntik semangat baru ke dalam PKR.
Parti yang dahulunya memperjuangkan keadilan buat Anwar mungkin bakal berubah dan menitikberatkan keadilan buat semua.
Dan inilah teras kempen yang dijalankan Azmin bagi mempertahankan jawatan timbalan presiden parti.
Beliau mungkin mahu lari daripada terus dibayangi Anwar Ibrahim, dan membina kekuatan sendiri.
Jaminannya, Keadilan Raya akan melangkaui kepimpinan daripada golongan Istana Bukit Segambut, iaitu terma yang digunakan bagi merujuk keluarga Anwar.
Apa-apapun, jika PKR mahu dilihat entiti politik yang mampu bertahan, ia perlu mencipta persona sendiri, tanpa dikawal ketat Anwar.
Maka mungkin, kempen Azmin merupakan satu cara bagi mengubah retorik bekas timbalan perdana menteri itu kepada konsep dan prinsip keadilan yang bakal dipromosi beliau.
Kita wajar faham bahawa kesetiaan Azmin selama puluhan tahun wajar dibayar dengan harga setimpal. Jika usahanya tidak dihargai, apa salahnya bagi Azmin pula mengambil alih kemudi?
Samada Azmin bakal tampil sebagai pemimpin hebat yang merubah haluan PKR atau hanya memainkan peranan pembelot, kita semua ternanti-nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan