"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelmarin hari terakhir ibu tua ini bernafas di dunia fana

DR AZMAN IBRAHIM 
Semalam Usrah PAS Dun Jabi di Cawangan Gong Pasir, Kerandang. Di situ bertemu dengan seorang sahabat yang baru balik dari majlis tahlil di Kubur Kerandang.
Simati ialah arwah ibu tua, Fatimah Ali berusia lebih 90 tahun dari Kampung Bukit Tempurung, Kerandang yang telah saya ziarahi pada paginya serta telah disampaikan sumbangan Khairat Kematian PAS Dun Jabi berjumlah RM1,000.

Arwah sebenarnya bukan dari keluarga hijau. Tapi kesungguhan usaha Ketua PAS Cawangan tersebut telah membawa beliau mendaftar sebagai ahli Badan Kebajikan dan Khairat Kematian PAS Dun Jabi.

Dengan yuran keahlian RM20 seumur hidup serta yuran tahunan RM10 setahun, walaupun sebahagian besar keluarganya adalah penyokong Umno, ibu tunggal ini adalah ahli dalam keluarga besar  kami, Badan Kebajikan dan Khairat Kematian PAS Jabi.

Ajal maut ketentuan Allah. Yang muda atau tua semuanya akan pergi. Siapa dahulu, siapa kemudian hanya Allah yang tahu. Kelmarin adalah hari terakhir ibu tua ini bernafas di dunia fana ini. Kita datang dari Allah, kepada Allah kita kembali. Semoga rohnya dirahmati Allah.

Pagi Isnin semalam, ketika bersiap untuk ke tempat kerja, saya menerima panggilan dari Ketua PAS Cawangan Kerandang yang memaklumkan kematian Almarhumah. Lantas saya arahkan segera Bendahari Badan Kebajikan untuk menyediakan wang sumbangan RM1k kerana sasaran kerja kami, wang sumbangan perlu sampai ke tangan waris terdekat sebelum jenazah disembahyangkan dan diusung ke tanah perkuburan.

Memang saya perasan, bila sampai di rumah arwah, kaum keluarga dan sanak saudara menerima kedatangan saya sambil lewa saja, bersalam sekadar dengan hujung-hujung jari. Tak apalah, kita sekadar hadir untuk menyampaikan amanah dengan penuh berjiwa besar sambil mengucapkan takziah.

Saya tak melihat mereka atas dasar sebagai orang yang berlainan fahaman politik, tetapi saya menganggap mereka sebagai waris kepada seorang ibu tua, ahli Badan Kebajikan dan Khairat di bawah PAS. Kami ada tanggungjawab yang perlu disempurnakan.

Sumbangan disampaikan kepada salah seorang anak Almarhumah yang belum lagi menjadi ahli PAS, tapi dengan izin Allah akan menyusul sebagai ahli.
Saya maklumkan bahawa ini bukan duit saya tapi duit dari ahli-ahli PAS Jabi yang bernaung di bawah badan kebajikan kami. Bila berlaku kematian, setiap dari kami akan menyumbang RM3 seorang. RM3 nilainya tak seberapa. Tapi kerana ahli kami ramai, terimalah sumbangan yang tak seberapa ini, RM1k sahaja. Mohon maaf atas segala kekurangan.

"Terima kasih banyok-banyok doktor...Ambo pun minat jugok nak daftar masuk badan kebajikan ni." Kata anak arwah yang mesra dipanggil Pok Loh.

"Tentu sekali boleh!" jawab saya.

Berlalu dari rumah arwah, saya singgah di Markaz PAS cawangan Kerandang. Kelihatan ahli-ahli PAS cawangan sedang sibuk menyiapkan keranda dan kubur yang berdekatan dengan Markaz PAS cawangan sudah siap digali.

Kebetulan arwah juga adalah ahli Badan Khairat Kematian PAS Cawangan Kerandang. Bila berlaku kematian, Badan Khairat PAS Cawangan ini akan menyediakan kelengkapan kain kafan, keranda, gali kubur serta tahlil 3 malam berturut-turut. Bermakna keluarga simati tak perlu bersusah payah. Sumbangan wang tunai seadanya dari Badan Kebajikan PAS Dun ditambah lagi dengan sumbangan peralatan dan khidmat dari Badan Khairat PAS Kerandang.

Saudara Sidek Idris, Bendahari Badan Khairat PAS Kerandang memaklumkan, untuk menyediakan keranda dengan kos yang paling minima, kami akan kumpulkan kayu-kayu dari pelbagai sumber. Kalau ada orang nak tebang pokok durian pun, kami akan ambik, belah dan simpan. Beginilah cara kerja kita orang yang tak berada.

Berbalik kepada cerita sahabat yang baru balik dari majlis tahlil di kubur tadi, dia terdengar percakapan kawan-kawan sebelah sana yang belum lagi hijau.

"Bagus sungguh orang PAS ni. Bagi pitih sampai 1,000, keranda, kain kapan, gali kubur, siap ratib lagi!"

Kebetulan semalam juga adalah untuk kali pertama, Van Pusat Khidmat Dun Jabi menaburkan khidmat bakti kepada masyarakat. Walaupun bukanlah sebuah kenderaan baru tetapi memadai dengan kemampuan kita. Yang penting, ini adalah aset terbaru Dun Jabi hasil titik peluh ahli PAS Jabi sendiri. Semoga dengan kewujudannya, ruang untuk menabur khidmat akan dapat dipertingkatkan lagi.

Kebaikan ini, kalau kita sembunyikan pun baik, zahirkan pun baik...

* Penulis ialah Ketua Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu.

Tiada ulasan: