"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lima sebab DAP kalah di Teluk Intan - Khalid Samad

Khalid Abdul samadPETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad memberi lima sebab kekalahan DAP dalam pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan pada 31 Mei lalu.
“Kekuatan kerajaan akan ditumpukan kepada usaha memenangkan calon mereka di tempat yang kecil itu berbanding dengan pilihan raya umum di mana kekuatan BN akan terpaksa diagihkan di seluruh negara,” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Dalam pilihan raya kecil tersebut calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud kalah dengan majoriti 238 undi.

Dyana memperoleh 19,919 undi berbanding calon BN, Datuk Mah Siew Keong yang juga presiden parti Gerakan yang memperoleh 20,157 undi.

Khalid yang juga ahli jawatan kuasa pusat PAS berkata rakyat Teluk Intan juga sedar bahawa keputusan PRK tidak akan mengubah kerajaan pusat.

“Pengundi akan memikirkan apakah yang terbaik yang mereka boleh capai melalui pilihanraya kecil ini dan sebahagian dari mereka menganggap bahawa memenangkan calon BN akan mampu mendatangkan pembangunan dan projek kerana BN adalah kerajaan,” katanya.

Beliau menambah bahawa pengundi memilih Mah kerana tidak mahu menjatuhkan air mukanya sebagai calon veteran dan berpengalaman.

Selain itu, Khalid juga menyatakan Mah mempunyai kelebihan sebagai calon tempatan.

Beliau menambah bahawa sokongan Umno yang padu untuk Gerakan turut menyumbang kepada keputusan tersebut meskipun Gerakan dan Umno mempunyai pendirian berbeza dalam isu hudud.

Selain itu Khalid turut menolak andaian bahawa pengundi Cina kembali kepada BN.

“Bagi mereka yang ingin mendakwa, ‘pilihanraya kecil Teluk Intan membuktikan orang Cina telah kembali menyokong BN’, sila imbas kembali seminggu sebelum itu yang menyaksikan BN langsung tidak berani walaupun untuk meletakkan calon di Bukit Gelugor,” katanya.

Tiada ulasan: