KUALA LUMPUR: Bagi membuktikan status halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap coklat benar-benar meyakinkan, pegawai jabatan itu sedia pada bila-bila masa untuk membuat demonstrasi memakan coklat tersebut.
Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM, Mohd Amri Abdullah berkata pihaknya berpegang kepada keputusan yang telah mereka keluarkan dan tidak ada masalah untuk pihaknya membuktikan kepada orang ramai bahawa coklat Cadbury adalah halal.
Mohd Amri berkata, proses memberikan status halal kepada sesuatu produk dibuat setelah prosedur dan standard yang ditetapkan ditepati.
"Sebagaimana yang disebutkan bahawa status Cadbury yang diputuskan adalah halal. Kalau diminta kami makan coklat Cadbury kami yakin bahawa apa yang diberikan status pensijilan itu adalah halal sepenuhnya.
"Dalam hal ini, ia memerlukan keyakinan yang begitu utuh, yang begitu kuat untuk menentukan konsep halal.
"Kalau di pihak pengguna jika adanya was-was, adanya keraguan yang melampau, lebih baik tinggalkan," katanya ketika kepada Astro AWANI menerusi AWANI745 malam tadi.
Mohd Amri berkata keputusan yang dibuat oleh Jakim terhadap coklat Cadbury itu adalah sama dengan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia.
Katanya, ini bermakna JAKIM membuat keputusan berdasarkan apa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kimia dan prosedur lain yang perlu dipatuhi.
"Untuk keputusan pensijilan halal ini, pihak JAKIM hanya menggunakan makmal jabatan kimia yang dibenarkan sahaja.
"Standard dan prosedur yang JAKIM gunakan untuk memberikan pensijilan halal ini adalah sama dengan apa yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.
Beliau juga menafikan keputusan yang dibuat JAKIM pada Isnin merupakan satu tindakan membuat pusingan U sepertimana yang didakwa sesetengah pihak.
Selain itu Mohd Amri masyarakat juga perlu faham bahawa semua perkara berkaitan pensijilan halal perlu dirujuk kepada JAKIM iaitu pihak yang diberi kuasa dalam bidang itu.
"JAKIM diibaratkan sebagai imam, pengguna adalah sebagai makmum, perlu mengikut apa yang ditentukan JAKIM dalam soal halal atau haram ini."
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan adanya DNA babi (porcine) dalam dua produk coklat susu Cadbury Dairy Milk.
Hasil siasatan oleh KKM mendapati tiga (3) sampel coklat Cadbury telah diambil untuk analisis DNA babi (porcine) bagi tujuan pemantauan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Isnin bagaimanapun mengumumkan tiada DNA babi dikesan dalam dua produk coklat Cadbury berkenaan. Pengumuman dibuat selepas ujian dijalankan oleh Jabatan Kimia ke atas sampel yang diambil dari kilang.
Namun pengumuman yang dibuat oleh Jamil Khir itu masih menimbulkan was-was di kalangan pengguna berkenaan status coklat Cadbury.
ASTRO AWANI
1 ulasan:
apakah status Kementerian kesihatan dan jabatan kimia. Bukankah dua kerajaan yang mempunyai kredibility dari segi ujian makmal. apakah hospital mempastikan DNA seseorang pesakit tidak boleh dipakai? Adakah kementerian kesihatan membawa semua sample pesakit untuk ujian DNA kepada jabatan kimia? bagaimana protokol yang dilaksanakan selama ini oleh kemnterian kesihatan tidak reliable? bagaimana kementerian kesihatan boleh mengekalkan protokol ujikaji DNA yang tidak boleh dipakai. menghabiskan harta dan wang rakyat. maka disni timbul keraguan dan syubhah. Pegawai JAKIM boleh makan berlori atau makan sampai pecah perut. apa heran? kalau nak makan benda haram, apa salahnya? apakah pegawai JAKIM ada integrity? kalau dia makan maka semua jadi halal. inilah jawapan pegawai yang otak kemetot. sekarang jabatan kesihatan kata ada DNA babi kenapa nak pertikai? apakah untuk melindungi kesilapan JAKIM yang telah mengeluarkan sijil halal. Dulu masa nak keluarkan sijil halal kenapa report ujikaji jabatan kimia tidak dipakai? apa kaedah yang digunakan oleh JAKIM. atau pegawai jakim guna kertas uji cap gambar raja? Apakah jabatan kimia saja mempunyai autority dari segi ugama? dari segi undang undang dunia mungkin betul. apahal jika orang yang memberitahu itu orang islam yang tidak mahu orang islam termakan benda haram dan tanggung jawabnya memberitahu orang ramai dengan segera. kementerian kesihatan hanya suka suka dan bermain dalam membuat kajian kerana tak ada kerja atau boring duduk kat pejabat. yang peliknya kenapa JAKIM beria ia sangat mengatakan halal. sedangkan JAKIM tidak punya makmal dan mengharapkan kajian dari dua buah jabatan kerajaan. yang mula mula lakukan ujikaji ialah kementerian kesihatan menggunakan sample yang berbeza dari yang digunakan oleh jabatan kimia yang sudah kelewatan berminggu dalam mendapatkan sample dari kilang sesudah heboh berhari hari. apakah tidak mungkin CADBURY telah mengambil sesuatu tindakan dalam masa tersebut? kita orang islam harus berhati hati. sudah banyak barang tercemar najis kita makan secara tak sedar, ini perkara yang kita sedar kerana diberitahu oleh sebuah agensi kerajaan yang selalu kita percaya apabila kita ada masalah kesihatan.
Catat Ulasan