"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan PAS Kelantan Bakal Runtuh - Suhaizan

KOTA TINGGI: Kerajaan PAS Kelantan bakal runtuh sekiranya parti itu gagal meningkatkan prestasi pentadbirannya SERTA menguruskan masalah dalaman dengan baik.
Amaran keras itu dinyatakan Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat kepada kepimpinan tertinggi partinya supaya tidak terus bergantung kepada faktor 'Nik Aziz' untuk terus mempertahankan Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, faktor ketokohan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak boleh terus dijadikan modal politik PAS untuk meraih sokongan rakyat.

"Ada di kalangan rakyat Kelantan yang tidak bersetuju dengan PAS tetapi sayang dengan kepemimpinan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) maka mereka mengundi PAS. Bagi sesetengah pengundi, pengaruh tok guru lebih besar daripada pengaruh PAS itu sendiri.

"Kini tok guru tidak lagi menjadi menteri besar Kelantan dan PAS belum teruji kekuatannya dalam Pilihanraya Umum tanpa faktor tok guru. Keadaan ini sangat membimbangkan," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Pusat ke-55 di Dewan Chon Moi di sini, Selasa.

Selepas PRU-13, pentadbiran PAS Kelantan kini diterajui oleh Menteri Besar baharu, Datuk Ahmad Yaakob.

Tegas Suhaizan, tidak mustahil pentadbiran PAS Kelantan bakal berhadapan dengan nasib yang sama ketika parti itu mentadbir Kedah dan Terengganu apabila hanya mampu bertahan selama satu penggal.

Katanya pengundi dan penyokong PAS boleh menolak parti itu pada bila-bila masa sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan prestasi terkini PAS Kelantan.

"Kemenangan PAS dibantu oleh sokongan daripada anak Kelantan di perantauan yang balik mengundi. Ini adalah satu isyarat bahawa rakyat tempatan Kelantan tidak berpuashati dengan prestasi kepemimpinan kita.

"Perlu diingatkan juga bahawa rakyat Kelantan terkenal dengan pemikiran politik yang kritikal dan dinamik. Sejarah telah membuktikan mereka boleh sahaja menolak PAS jika mereka tidak berpuashati dengan prestasi kerajaan negeri pimpinan kita," katanya.

Tambah Suhaizan, hasil post-mortem PAS mengenai prestasi parti itu dalam PRU-13 lalu mendapati kekalahannya di Kedah berpunca daripada masalah dalaman yang gagal diurus dengan baik.

"Akhirnya rakyat menghukum kita di Kedah. Kekalahan ini bukan sahaja memberi imej tidak baik kepada PAS di Kedah malah seluruh negara.

"Sedangkan Pakatan Rakyat boleh mempertahankan kemenangan lebih daripada satu penggal di Selangor dan Pulau Pinang," katanya.
-mstar-

Tiada ulasan: