"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

"Daripada Saya Derhaka, Lebih Baik Cerai" - Raja Azmi

Raja Azmi dan Eddie selepas proses lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Ampang Selangor pada Selasa. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI
AMPANG: Produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman mendedahkan teguran suaminya, Mohd Eddie Ghazali antara penyebab dia memohon untuk bercerai selepas 13 bulan berumahtangga.

Raja Azmi, 55 berkata, walaupun mengakui kesilapannya kerana keluar rumah tanpa izin, namun cara teguran suaminya itu membuatkan hatinya benar-benar terluka dan sukar untuk diubati semula.

"Apabila dimarahi, hati saya terluka kerana saya terasa dengan tegurannya itu. Rasa sedih sangat-sangat. Dia (Eddie) telah pun memohon maaf dan memujuk, tetapi luka saya itu tidak terubat.

"Bagi saya, jika tidak boleh bertolak ansur mengenai perkara seperti ini, saya akan berterusan menjadi isteri yang derhaka. Lebih baik kami berpisah.

"Dia ada berusaha untuk mengekalkan rumah tangga ini, cuma mungkin saya yang langsung tidak berusaha," katanya kepada mStar Online.

Raja Azmi ditemui selepas di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada petang Selasa selepas Mohd Eddie, 46, melakukan lafaz cerai di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin kira-kira pukul 3.05 petang.

Mohd Eddie menceraikan Raja Azmi dengan talak satu dan wanita itu diperintahkan untuk melalui tiga bulan tempoh edah atau tiga kali suci.
Raja Azmi bersama Eddie tetap bersahabat meskipun sudah bercerai.
Dalam pada itu, Raja Azmi turut mengakui, sejak berkahwin pada 13 Oktober 2013, dia mendapati pelbagai percanggahan pendapat antaranya dengan Eddie terutamanya mengenai kehidupan.
"Kami kerap bergaduh hanya kerana percanggahan pendapat masing-masing. Dan perkara ini membuatkan perhubungan kami semakin sukar untuk diteruskan.

"Tetapi apabila tidak sebumbung, kami boleh pula berkomunikasi macam biasa. Apa yang saya nampak, mungkin kami lebih sesuai berhubung sebagai sahabat," ujarnya.

Sementara itu, Eddie pula berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya apabila terpaksa melalui dugaan bercerai dan perkara itu membuatkan dirinya sedikit sebak.

Bagaimanapun, kata Eddie, masalah perkahwinannya dengan Raja Azmi dijadikan sebagai pengajaran agar lebih berdiplomasi dalam menegur seorang isteri.

"Kesilapan saya adalah daripada segi teguran yang kasar sehingga mengundang sebelah pihak terasa hati. Tetapi nak buat macam mana, ia sudah pun berlaku dan hidup mesti diteruskan seperti biasa," tuturnya.

Eddie yang popular dalam kumpulan CRK dengan lagu Cinta Dan Air Mata (tahun 1990-an) bernikah dengan Raja Azmi pada 13 Oktober 2013 dengan sekali lafaz.

Majlis akad nikah dilakukan di Laman Beringin, Istana Budaya dekat sini.

Raja Azmi sebelum ini pernah berkahwin dengan jaguh badminton negara, Mohd Jalani Sidek dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 30, Puteri Suaida, 26, dan Megat Deli, 21.

Eddie pula memiliki dua orang anak bersama arwah isterinya iaitu Daniel, 23, dan Effy, 21.

PRODUSER Raja Azmi mengaku sikap buruknya yang tidak boleh ditegur selepas keluar rumah tanpa izin antara penyebab dia mahu bercerai. Tonton video penjelasan beliau dan bekas suaminya, Eddie.
-mstar-

Tiada ulasan: