"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru yang dibicara kes kelucahan melampau terhadap murid, mohon solat zohor dalam mahkamah

KOTA BHARU: Seorang guru sempat menunaikan solat Zuhur di dalam mahkamah sesyen, di sini, petang tadi, sebelum dituduh atas dakwaan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang pelajarnya, minggu lalu.
Tertuduh, Nik Hazmi Ghani, 33, ketika itu sedang menunggu prosiding tuduhan dijalankan ke atasnya dan meminta kebenaran pihak polis untuk sembahyang kira-kira jam 3.20 petang.

Dia kemudiannya bersembahyang di atas kerusi di dalam mahkamah sebelum prosiding bermula pada jam 4 petang.

Tertuduh didakwa merangsang kanak-kanak sembilan tahun terbabit untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau dengannya di sebuah rumah di Kampung Teras, Sering, Binjai, di sini, antara jam 11 malam, 30 Oktober lalu dan 1 pagi, keesokannya.

Bapa tiga anak tersebut, bagaimanapun mengaku tidak salah di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus. Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari memohon tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan perubatan dan tidak menawarkan jaminan
dengan alasan tertuduh dan mangsa masing-masing mengajar serta belajar di sekolah yang sama.

Tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Takiyuddin Hassan merayu supaya dibenarkan jaminan dengan hujah tertuduh sebagai seorang penjawat awam yang mempunyai keluarga dan berjanji akan mematuhi segala undang-undang, jika jaminan itu dibenarkan.

Selepas penelitian maksimum, Mohd Yusoff kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat jamin tersebut akan terbatal jika terdapat laporan gangguan tertuduh terhadap mangsa atau saksi-saksi pihak pendakwaan.

Kes bersambung 9 Disember depan.

Sinar Harian pada 3 November lalu menyiarkan laporan seorang guru berusia 33 tahun ditahan polis selepas didakwa cuba meliwat murid tahun tiga sekolahnya.

Kejadian 30 Oktober lalu itu terbongkar selepas ibu mangsa mengesaki sesuatu yang tidak kena pada anaknya kerana pulang lewat malam dengan bau harum minyak wangi melekat di badan.
-sinarharian-

Tiada ulasan: