"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa sebenarnya yang berlaku di Kedah sampai 4 kali kena puting beliung

Sekurang-kurangnya 20 buah rumah dan empat rumah kedai di Kampung Sungai Nonang, Simpang Empat Kangkung dekat Alor Setar rosak akibat dilanda puting beliung petang tadi.

Kejadian kira-kira 2.45 petang itu turut melibatkan sebuah kandang kambing.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Mohamad Yunus Abu berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu kira-kira 3 petang dan menggerakkan anggota ke tempat kejadian.
"Kami dapati lima buah rumah rosak teruk. Tiada penduduk yang mengalami kecederaan. Cuma ada beberapa penduduk yang trauma dengan kejadian itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Katanya akibat kejadian itu sebuah kereta jenis Proton Wira tersangkut pada sebatang pokok mangga pada ketinggian satu meter akibat diterbangkan pusaran angin itu.

Beliau berkata 12 anggotanya dikerahkan ke tempat kejadian bagi melakukan kerja memotong pokok yang tumbang dan membantu mangsa kejadian.

Pusaran angin yang dipercayai datang dari arah sawah di kampung tersebut (dari arah utara) berlaku dalam tempoh 10 minit mengejutkan penduduk kampung yang ketika itu sedang beristirahat di rumah.

Difahamkan, mangsa-mangsa kejadian puting beliung itu ketika ini menumpang di rumah saudara mereka sementara menanti bantuan daripada pihak-pihak berkaitan.

Tinjauan Bernama mendapati selain Jabatan Bomba dan Penyelamat, anggota Jabatan Pertahanan Awam turut menjalankan kerja-kerja memotong pokok-pokok yang tumbang.

Kejadian hari ini merupakan kes keempat membabitkan puting beliung yang dilaporkan berlaku di Kedah dalam masa tidak sampai sebulan.

Kes pertama berlaku di Kampung Alor Besar, Pendang pada 14 Okt yang menyebabkan 11 buah rumah dan sebuah sekolah rosak teruk.

Kes kedua berlaku pada 31 Okt di lima kawasan di daerah Kota Setar iaitu Kampung Mergong Hilir, Kampung Batin, Kampung Sungai Baru, Taman Inang dan Taman Mergong Jaya yang menyebabkan kerosakan teruk pada 71 buah rumah dan sebuah klinik desa.

Pada 2 Nov lepas, sekurang-kurangnya 13 buah rumah di Taman Wira Mergong di sini mengalami kerosakan setelah dilanda angin kencang dan pusaran kecil puting beliung.
-Bernama-

Tiada ulasan: