"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Di akhir hayat, Nor Atikah bercakap keindahan syurga

HUSIN TAWANG 
PASIR PUTEH: "Syurga itu sangat mahal mak," itulah kata-kata terakhir Nor Atikah Alias, 25, kepada ibunya Najihah Mat Jusoh, 48, sebelum menghembuskan nafas 5 Mei lalu.  
Pelajar tahun akhir di Universiti Perubatan Kajian Kebangsaan Russia  meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sklifosovskogo selepas dua minggu terlantar akibat kebakaran asrama tempat pelajar Malaysia menginap.  

Allahyarham melecur pada bahagian muka, tangan dan kaki, serta keracunan karbon monoksida.

Suasana pilu mengiringi ketibaan jenazah Nor Atikah di rumah keluarganya, di Kampung Bukit, di sini 8.30 pagi semalam.  

Lebih memilukan lagi pemergian anak kesayangan itu ketika ibu-ibu lain diraikan sempena sambutan Hari Ibu.  

Najihah berkata beliau redha dengan pemergian anak kedua dari lima beradik itu.  

Beliau bersama suami, Alias Mat Yaakob, 53, sempat bersama Nor Atikah selepas tiba di hospital terbabit di Moscow pada 3 Mei lalu.

"Saya sempat bercakap selama 3 hari dengan dia selepas tiba di hospital terbabit. Nor Atikah meluahkan isi hatinya kepada kami.

“Dia minta supaya halal makan minum serta memohon maaf dengan kami. Di akhir hayatnya, dia banyak bercakap keindahan syurga, kalau boleh dia mahu berlari-lari sambil memimpin tangan adik-adik ke syurga.

"Saya cuba kuatkan semangat dia, namun Tuhan lebih menyayanginya. Insya Allah kami redha dengan pemergiannya," katanya ketika ditemui.

Jenazah Nor Atikah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit.

Bapa saudaranya, Mat Yaacob Mat Jusoh, 53, berkata arwah bakal menamatkan pengajian pada Julai ini dan dijadual melangsungkan perkahwinan pada 28 Ogos hadapan dengan Dr Wan Mohd Ikhwan Wan Sayuti

Tiada ulasan: