"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zaid Dedah Terima Panggilan Beritahu Tentang Plot Rahsia Untuk Ganti PM

Tranungkite
PETALING JAYA, 11 Mei: Bekas Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim semalam telah menulis dalam blog rasminya mengenai satu panggilan telefon dari sumber UMNO yang memberitahu beliau tentang satu pertemuan yang diadakan oleh pemimpin tertinggi UMNO yang membincangkan tentang penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Muhyiddin.
Sambil memberitahu yang beliau tidak pasti sama ada pertemuan itu benar-benar bertujuan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, beliau juga ada menyebut itu bukan cara yang tepat untuk menggantikan seorang pemimpin.
"Saya menerima panggilan daripada sumber Umno bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bertemu tokoh penting Umno termasuk Tun Daim Zainuddin, Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Seri Mustapa Mohamed di Itali untuk membincangkan tentang penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Muhyiddin.

"Saya tidak tahu sama ada pertemuan ini akhirnya akan menyebabkan Najib digantikan, tetapi saya hanya tidak bersetuju dengan jenis cara yang dilakukan secara senyap-senyap untuk menggantikan pemimpin yang telah dipilih," kata Zaid dalam posting blog pada Ahad memetik laporan dari mStar Online.

Menurut Zaid, panggilan itu diterima olehnya semasa berada di Hokkaido, Jepun. Selain menyifatkan beliau tidak tahu setakat mana sumber itu boleh dipercayai, beliau turut berharap plot itu bukan sebahagian rancangan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menukar pucuk pimpinan.

"Perdana Menteri boleh diganti hanya melalui proses yang sah dan diiktiraf seperti yang biasa dilakukan dalam sistem demokrasi berparlimen. Sama ada terdapat perubahan dalam kepimpinan parti, iaitu Perdana Menteri, atau terdapat satu undi tidak percaya di Parlimen terhadap Perdana Menteri. Tidak ada cara sah yang lain," kata Zaid lagi.

Tambah beliau lagi, perbahasan mengenai Perdana Menteri di Parlimen perlu diadakan dan bukannya mensyuarat rahsia seperti yang didakwa oleh sumber tersebut.

"Saya percaya perbahasan di Parlimen mengenai Perdana Menteri perlu dilakukan. Jika terdapat apa-apa salah laku atau kesalahan yang dilakukan dalam cara beliau mengendalikan 1MDB, biarkan mereka yang membuat dakwaan mengemukakan hujah-hujah mereka dalam Dewan Rakyat dan membolehkan rakyat, melalu ahli Parlimen mereka, mempertimbangkan perkara tersebut sebelum mengundi. Mesyuarat rahsia di Milan bukan cara demokratik," kata Zaid.

Dalam posting itu, Zaid turut menyentuh isu 1MDB dan juga menyifatkan rasuah sebagai masalah terbesar yang dihadapi oleh Malaysia. - Siakapkeli.my

Tiada ulasan: